Bieber Bertunang Anak Aktor Baldwin

BINTANG pop remaja, Justin Bieber dilaporkan bakal berkahwin apabila dia dipercayai melamar kekasihnya, Hailey Baldwin selepas mereka bercinta selama sebulan.

Menurut laman web selebriti, TMZ, penyanyi kelahiran Kanada berusia 24 tahun itu dilaporkan melamar Baldwin, 21, ketika makan malam di sebuah restoran di Bahamas.

Laman web itu yang memetik saksi yang berada di dalam restoran terbabit berkata, pasukan keselamatan Bieber mengarahkan mereka menyimpan telefon bimbit masing-masing ketika penyanyi itu melamar kekasihnya.

Namun, wakil Bieber tidak memberikan maklum balas berhubung berita berkenaan tetapi ahli keluarga pasangan itu mendakwa laporan mengenai lamaran itu adalah benar.

“Rasa bangga adalah satu perkara remeh. Sebenarnya teruja untuk bab seterusnya,” kata bapa penyanyi itu, Jeremy Bieber di Instagram yang turut memuat naik gambar anak lelakinya itu.

Sementara itu, ibu Bieber, Pattie Mallette, sekadar memuat naik mesej ‘Cinta, Cinta, Cinta, Cinta, Cinta, Cinta, Cinta’ di Twitternya.

Baldwin, seorang model ialah anak perempuan aktor, Stephen Baldwin, manakala ibunya, berasal dari Brazil.

Sebelum ini, Bieber dilaporkan pernah menjalin hubungan dengan penyanyi, Selena Gomez dan model, Sofia Richie.

Dia dilaporkan bercinta dengan Baldwin sejak sebulan lalu. – AFP 

Loading...