Jururawat Dari Perak, Positif Covid-19 Di Sabah

KUALA LUMPUR – “Tiada apa saya fikirkan selepas disahkan positif Covid-19, melainkan mati,” luah jururawat, Siti Nurjannah Abu Bakar.

Siti Nurjannah, 36, adalah jururuwat Klinik Kesihatan (KK) Sitiawan, Perak yang dihantar bertugas di KK Lahad Datu, Sabah secara sukarela.

Demi tuntutan tugas, Siti Nurjannah sanggup berjauhan dengan suami, Mohd Hishamudin Ismail, 36, dan lima anaknya berusia lima hingga 10 tahun yang berada di Seri Manjung, Perak.

Namun, kecekalan wanita itu diuji apabila disahkan positif Covid-19 , Ahad lalu selepas menjalani ujian calitan pada 13 Oktober.

Berikutan itu, Siti Nurjannah tidak dapat meneruskan tugasan kerana perlu menjalani kuarantin di wad Hospital Lahad Datu sejak Ahad lalu bersama pesakit lain yang ditempatkan di situ.

Berkongsi pengalamannya, Siti Nurjannah berkata, dia mula bertugas di KK Lahad Datu pada 2 Oktober iaitu sehari selepas tiba di Sabah.

Katanya, skop tugasannya adalah membantu doktor dan pembantu perubatan melakukan saringan kesihatan menerusi ujian calitan kepada penduduk setempat terutama kawasan mempunyai kes positif.

“Dalam sehari, saya bersama pasukan perubatan melakukan saringan terhadap kira-kira 1,000 penduduk.

“Seperti petugas lain, saya tidak terkecuali daripada mengikut prosedur operasi standard (SOP) iaitu memakai pakaian perlindungan diri (PPE) lengkap.

“Saya sudah mengambil semua langkah untuk melindungi diri termasuk kerap mencuci tangan, tetapi mungkin sudah ketentuan apabila dijangkiti Covid-19,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Siti Nur Jannah mengakui terkejut apabila disahkan positif Covid-19, tetapi reda dan menganggap apa yang berlaku sebagai ujian Allah.

Malah, Siti Nurjannah tidak menyalahkan sesiapa kerana sudah bersedia menghadapi kemungkinan dijangkiti penyakit itu kerana tugasannya yang saban hari terdedah dengan persekitaran dan individu daripada pelbagai latar belakang. 

“Orang pertama saya hubungi selepas disahkan positif Covid-19 adalah suami dan dia menangis sebaik mengetahui keadaan saya.

“Namun, dia kembali tenang selepas saya jelaskan kepadanya keadaan saya dan setiap hari menghubunginya menerusi WhatsApp dan panggilan video untuk bertanya khabar satu sama lain.

“Saya tidak pasti sama ada anak tahu atau tidak mengenai keadaan saya kerana mereka masih kecil, cuma saya bersyukur dapat tahu dijangkiti penyakit di sini, bukan selepas pulang ke sana. Sekurang-kurangnya, saya tidak mendedahkan suami dan anak dengan risiko penyakit ini,” katanya.

Di sebalik ujian itu, Siti Nurjannah bersyukur kerana banyak menerima sokongan dan kata semangat daripada warganet selepas berkongsi kisahnya di Facebook (FB).

Katanya, apa diharapkan kini adalah kembali sembuh secepat mungkin dan dapat bertugas serta pulang ke pangkuan keluarga.

“Memang terkejut dan tak sangka hantaran di FB itu tular kerana bagi saya, ia sekadar satu luahan.

“Terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang memberi sokongan dan mendoakan saya sembuh. Kebanyakan kiriman mesej diterima daripada penduduk Sabah yang mengucapkan terima kasih kerana sanggup datang bertugas di negeri mereka.

“Ujian ini tidak akan membuatkan saya serik untuk menabur bakti kepada masyarakat, sebaliknya lebih bersemangat dan diharapkan semua semua petugas barisan hadapan lain terus cekal menjalankan tanggungjawab dan tidak lemah semangat jika dihantar bertugas ke mana-mana kawasan berisiko,” katanya. – myMetro Online

Loading...