Jururawat Dalam Pantang Cedera Terkena Peluru Sesat

PENDANG – Seorang jururawat yang sedang berpantang selepas melahirkan anak ketiganya nyaris maut apabila terkena peluru sesat dipercayai dilepaskan dari Lapang Sasar Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang di Kampung Bukit Pinang di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 petang itu, Nur Fatihah Azaini, 29, cedera pada pangkal hidung hingga kelopak mata kiri akibat terkena peluru yang tembus menerusi bumbung zink rumah keluarganya di Kampung Bukit Jambul.

Rumah tersebut terletak kira-kira 500 meter dari kawasan lapang sasar berkenaan dan dipisahkan dengan sebuah bukit dikenali sebagai Bukit Pinang.

Menurut Nur Fatihah, kejadian berlaku ketika dia sedang berbaring dengan bayi perempuannya, Nurul Hana Aqilah Mohd. Edy yang baru berusia 15 hari sambil menonton televisyen di ruang tamu rumah.

“Saya terkejut apabila berasa seperti satu objek yang berat menimpa atas muka dan saya terus bangun sebelum mendapati bahagian muka berlumuran darah,” katanya ketika ditemui di rumah keluarganya di sini hari ini.

Katanya, dia terus mendapatkan bayi perempuannya dan mendapati tiada kecederaan sebelum menjerit meminta pertolongan ibunya, Doyah Saad, 50, yang berada berhampiran.

“Darah terlalu banyak dan ibu ambil ais untuk menghentikan pendarahan sebelum saya dibawa ke Klinik Kesihatan Pendang oleh ambulans Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk rawatan lanjut,” katanya.

Ujar Nur Fatihah lagi, doktor memberitahu peluru tidak menembusi bahagian hidungnya sebaliknya peluru itu terkena sipi dari kelopak mata hingga pangkal hidung sepanjang kira-kira empat sentimeter. – K! ONLINE

*Sekadar Video Hiasan..

Loading...