Jurujual Kereta Didakwa Hina Agong, Sultan Johor

SEREMBAN – Jurujual kereta didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban, hari ini, atas empat pertuduhan menghina Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di laman Facebooknya.

Azrin Bidin, 42, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Madihah Harullah.

Mengikut kesemua pertuduhan, tertuduh didakwa melalui perkhidmatan aplikasi Facebook menggunakan laman profil Facebook Azrin Bidin, secara sedar membuat dan memulakan penghantaran dengan niat untuk menganiayai orang lain.

Bapa tiga anak yang berasal dari Muar itu dituduh melakukan kesemua perbuatan itu di Bandar Seremban Selatan, pada 8.41 pagi, 15 Januari dan antara 8.29 malam hingga 11 malam, 2 Mac.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Al-Saifi Hashim memohon mahkamah mengenakan jaminan RM15,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin mengambil kira perbuatan tertuduh yang melakukan penghinaan yang berat terhadap Yang di-Pertuan Agong dan Sultan Johor.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jumlah itu dikurangkan atas alasan dia perlu menyara keluarga dan isteri yang tidak bekerja.

Madihah membenarkan tertuduh diikat jamin RM26,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 7 April untuk sebutan semula kes.

Loading...