Juru Perunding, Kontraktor Projek Jln Bukit Kukus Diarah Kemukakan Laporan

GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) hari ini telah mengarahkan juru perunding dan kontraktor projek Jalan Bukit Kukus untuk mengemukakan laporan terperinci mengenai kejadian 14 rasuk-rasuk konkrit berukuran 25 meter setiap satu terjatuh di tapak pembinaannya baru-baru ini.

MBPP dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Bahagian Komunikasi Korporat dan Perhubung Awam berkata selaras dengan arahan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH), MBPP telah mengarahkan kontraktor itu untuk memberhentikan kerja di tapak kejadian.

“MBPP telah mengarahkan pihak juru perunding dan kontraktor untuk mengemukakan laporan terperinci kejadian. Kita akan mengumumkan hasil siasatan setelah mendapat keputusan daripada pihak DOSH,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam kejadian yang berlaku pada Khamis lepas, sebanyak 14 rasuk konkrit telah dilaporkan terjatuh di lereng Jalan Tun Sardon disebabkan oleh pengendali kren yang secara tidak sengaja telah melanggar sebatang rasuk yang diletak di atas tanah.

MBPP berkata siasatan awal mendapati pengendali kren yang sedang mengangkat plat keluli ketika itu telah ditiup angin kencang sehingga menyebabkan plat keluli terhayun melanggar salah sebuah rasuk.

Katanya, pelanggaran itu telah menyebabkan rasuk tersebut condong ke tepi dan menyebabkan rasuk-rasuk yang lain condong dan ada yang jatuh ke tanah.

“Kesemuanya terdapat 14 rasuk yang telah diletak di atas rasuk utama yang telah diikat sementara secara kimpalan antara satu sama lain sebelum kerja-kerja ikatan kekal dilakukan untuk pemasangan papak konkrit bagi pembinaan jalan,” katanya.

Tambahnya, lokasi kejadian ini terletak dalam kawasan pembinaan yang tidak digunakan oleh orang awam, jadi tiada sebarang kecederaan atau kerosakan harta benda awam dilaporkan.

MBPP berkata projek ini telah bermula dengan kerja-kerja pembinaan pada tahun 2016 dan terkini kemajuan projek tersebut telah mencapai 60 peratus. – BERNAMA

Loading...