Jumlah Mangsa Banjir Meningkat

KUALA LUMPUR – Jumlah mangsa banjir di beberapa negeri meningkat setakat pagi ini dengan pertambahan bilangan mangsa ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS).

Jumlah mangsa banjir di Johor meningkat kepada 7,112 orang di lapan daerah setakat jam 8 pagi ini, manakala di Pahang meningkat kepada 7,603 orang setakat jam 7.30 pagi.

Banjir di Terengganu pula menyaksikan 804 orang ditempatkan di PPS setakat jam 8 pagi.

Gua Musang pula menjadi jajahan pertama di Kelantan dilanda banjir dengan 296 mangsa dipindahkan di dua PPS, manakala 116 orang masih ditempatkan di dua PPS di Hulu Bernam, Selangor.

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat, seramai 615 orang dari daerah Hilir Perak, Muallim dan Kampar di Perak ditempatkan di 10 PPS setakat jam 7.30 pagi ini.

Sementara itu, ANIH Berhad dalam kenyataan memaklumkan laluan KM84.6 – KM84.7 Lanchang, Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 ditutup sepenuhnya di kedua-dua arah akibat dinaiki air. – BERNAMA