Jumlah Kes Positif COVID-19 Di 2 Flat Masjid India Serius

KUALA LUMPUR – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) perlu dikuatkuasakan di Selangor Mansion dan Malayan Mansion, Jalan Masjid India, di sini, berikutan jumlah positif COVID-19 yang dikesan semakin serius, selain faktor kesesakan di lokasi berkenaan.

Ini kerana, dua blok kediaman itu dihuni antara 20 hingga 30 pekerja warga Bangladesh, India dan Pakistan bagi setiap unit, sekali gus menyaksikan kepadatan penduduk yang tinggi di kawasan berkenaan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, berkata pihaknya akan menyelaraskan pelaksanaan PKPD di dua flat berkenaan selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Berdasarkan arahan KKM, sesebuah lokasi harus dikategorikan sebagai zon merah, apabila mencatatkan jumlah 40 kes positif COVID-19 dan pada masa ini jumlah di dua flat ini sudah merekodkan 15 kes positif, tidak termasuk di Plaza One City yang tidak jauh dari sini. Jika dicampur keseluruhannya hampir 40 kes.

“Kami perlu mengatur gerak menerusi Jawatankuasa Keselamatan Kementerian Wilayah untuk menyelaraskan segala perkara berkaitan PKPD di sini,” katanya selepas meninjau flat Selangor Mansion, hari ini.

Beliau berkata menerusi mesyuarat sama juga, Kementerian Wilayah Persekutuan akan memutuskan sama ada untuk melakukan proses memindahkan penghuni ke pusat kuarantin, berikutan kepadatannya membabitkan lebih 6,000 orang.

“Kita akan meneliti segala maklumat dan sebarang cadangan daripada KKM sama ada proses saringan boleh dilakukan di sini atau perlu dilakukan di satu lokasi lain yang lebih teratur.

“Faktor lain turut diambil kira adalah sekiranya jumlah positif COVID-19 mencatat peningkatan ketara,” katanya.

Annuar berkata, isu penting di kawasan Masjid India ialah bagi mengekang penyebaran dan penularan wabak COVID-19 terhadap orang ramai, petugas KKM, polis dan tentera yang mengawasi kawasan sekitar.

Katanya, kementerian itu bekerjasama dengan Kedutaan India, Pakistan dan Bangladesh bagi menyelaraskan rakyat mereka yang tinggal di flat Selangor Mansion dan Malayan Mansion, Jalan Masjid India

“Sudah tentu isu utama apabila kita melaksanakan PKPD adalah keperluan harian semua penduduk terbabit dan KWP akan meminta bantuan tiga kedutaan asing berkenaan membantu rakyat mereka.

“Ini termasuklah bantuan dari segi logistik dan keperluan harian seperti makanan dan minuman penduduk di sini kerana membabitkan rakyat mereka,” katanya.

Annuar berkata penyelarasan ini termasuklah penyampaian mesej dalam bahasa asing dan arahan dari Kementerian Kesihatan. – BH Online

Loading...