Jualan Proton Naik 36 Peratus Selepas Lancar X70

KUALA LUMPUR – Bagi lapan bulan pertama tahun ini, Proton Holdings Berhad mencatat jumlah jualan kenderaan sebanyak 61,235 unit, peningkatan sebanyak 36% berbanding tempoh sama tahun 2018.

Berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh Malaysian Automotive Association (MAA), jualan kenderaan jenama Proton menduduki tempat kedua bagi segmen jualan kenderaan penumpang dari Januari hingga Ogos 2019, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking.

“Peningkatan jumlah jualan ini didorong faktor pengenalan X70 bermula pada tahun 2018 serta pembaharuan model-model sedia ada seperti Saga, Exora, Iriz dan Persona pada 2019,” katanya yang menjawab soalan Datuk Alexander Nanta Linggi (GPS-Kapit) di sidang Dewan Rakyat hari ini.

Menteri itu berkata, bagi tempoh Jun 2018 hingga Ogos 2019, Proton telah mengeksport sebanyak 1,635 unit kenderaan terutama bagi model Gen 2, Preve dan Persona dengan nilai eksport bernilai RM55.1 juta.

Pasaran eksport utama adalah Brunei, Mauritius, Jordan, Pakistan, Iraq, Zimbabwe dan Mesir.

Loading...