Jualan ‘My Best Buy’ Bantu Kurang Kos Sara Hidup

BUTTERWORTH – Jualan My Best Buy (MBB) anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mampu membantu rakyat khususnya di kawasan bandar untuk mengurangkan kos sara hidup.

Timbalan Ketua Pengarah FAMA (Operasi) Datuk Nazipah Jamaludin berkata program yang telah masuk siri kedua itu dapat mengurangkan kos sara hidup rakyat melalui penawaran harga barangan segar yang berpatutan.

“Harga jualan barangan di MBB ini adalah lima hingga 20 peratus lebih murah berbanding harga pasaran,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program jualan MBB 2.0 di perkarangan Pejabat FAMA, di sini hari ini.

MBB 2.0 diadakan pada setiap hari Rabu dalam minggu terakhir setiap bulan di seluruh Malaysia.

Nazipah berkata sehingga 31 Okt lalu, MBB telah mencatat nilai jualan sebanyak RM45.9 juta hasil pembelian daripada 2.7 juta orang rakyat Malaysia yang berkunjung ke MBB untuk membeli segala keperluan harian sejak tahun 2014.

Katanya, MBB beroperasi sebanyak 4,795 kali di 159 lokasi secara tetap dan ‘one off’ di seluruh negara melibatkan 2,746 orang usahawan.

“Majoriti peniaga dan usahawan memang di bawah program FAMA. Jualan di MBB tidak terhad kepada makanan sahaja, kita juga buka peluang kepada mana-mana peniaga yang mampu menawarkan barangan dengan harga terus dari kilang,” katanya. – BERNAMA

Loading...