Jualan Aset Setahun PH Banyak Berbanding BN – Najib

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak sebanyak 12 aset Khazanah Nasional bernilai RM25.6 bilion dijual dalam setahun kerajaan Pakatan Harapan berbanding RM5 bilion sahaja dalam satu tahun pentadbirannya.

“Maknanya dalam setahun sahaja, dia dah lima kali ganda banding dengan setiap tahun BN memerintah,” kata bekas perdana menteri kepada pemberita di Parlimen hari ini.

Beliau menjawab Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamad Azmin Ali hari ini yang berkata sebanyak 84 aset Khazanah dijual sepanjang sembilan tahun pentadbiran Najib (April 2009 – Mei 2018).

Mengulas lanjut, Najib menegaskan langkah kerajaan semasa menjual aset negara tindakan jangka pendek yang amat merugikan negara dan memberi impak tidak baik kepada generasi akan datang.

Najib berkata aset-aset negara bertambah dengan ketara semasa pentadbirannya.

“Bukan sikit, banyak tetapi zaman PH ini dalam masa setahun lebih sahaja terlalu banyak aset strategik yang memberi nilai pulangan yang tinggi telah dijual,” katanya.

Najib juga menyangkal dakwaan PH terpaksa menjual aset Khazanah kerana kerajaan terdahulu, mengatakan PH terpaksa menjual kerana kesilapan sendiri.

Kesilapan pertama kerajaan PH, katanya, adalah menganggarkan peruntukan Belanjawan Malaysia 2019 berdasarkan harga purata minyak mentah AS$70 setong.

Najib mengingatkan pemberita beliau menegur perkara itu ketika membahaskan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) pada Oktober tahun lepas.

“Saya dah tegur…hari ini harga minyak dunia Brent Crude AS$54-AS$55, jadi sudah ada perbezaan yang begitu besar, mengakibatkan kesan kepada hasil negara,” katanya.

Kesilapan kedua kerajaan PH, katanya, adalah membatalkan cukai barang dan perkhidmatan (GST), menyebabkan kelompongan lebih kurang RM20 bilion hingga RM24 bilion setahun dalam hasil negara.

“Ini tidak termasuk bayaran balik GST yang terpaksa mereka bayar, sebanyak RM19.4 bilion,” katanya.

Sebelum ia dihapuskan, kadar GST diturunkan daripada enam peratus kepada sifar peratus berkuatkuasa 1 Jun sehingga cukai jualan dan perkhidmatan (SST) berkuatkuasa 1 Sept.

Najib percaya kesilapan seperti itu tidak akan berlaku sekiranya BN terus menerajui Putrajaya. – FMT

Loading...