Jual Beli Tanah DBKL Akan Dilakukan Melalui Tender Terbuka

KUALA LUMPUR – Semua urusan pembelian dan penjualan tanah melibatkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan dilakukan secara tender terbuka, kata Menteri Wilayah Khalid Abdul Samad.

Beliau berkata keputusan itu bagi mengelakkan sebarang urusan jual beli tanah yang tidak wajar berbanding dengan harga pasaran.

“Insya Allah, lain kali kita akan lakukan secara tender terbuka kerana dahulu, ini semua dibuat secara rundingan terus,” katanya merasmikan Plaza Arkadia, di sini hari ini.

Khalid baru-baru ini mendedahkan sebanyak RM149 juta berjaya diperoleh menerusi rundingan semula 16 daripada 23 transaksi jualan tanah milik DBKL melibatkan jumlah keluasan 104 hektar, selain tanah berkeluasan 5.04 hektar bernilai RM113.8 juta diserahkan semula kepada DBKL.

Rundingan semula itu dilakukan oleh Jawatankuasa Khas ekoran tindakan kerajaan terdahulu yang menjual tanah-tanah itu pada harga jauh lebih rendah daripada harga pasaran sehingga merugikan DBKL.

Dalam pada itu, Khalid berkata siasatan yang dijalankan pihaknya hanya daripada sudut komersial untuk menentukan DBKL menjalankan proses jual beli tanah pada harga yang munasabah.

Katanya siasatan daripada sudut penyelewengan dan rasuah hanya dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Kita (kementerian) memang tidak boleh siasat daripada sudut rasuah dan penyelewengan itu kerana kita tidak boleh akses akaun bank dan kita tidak boleh tengok sama ada pegawai atau menteri ini dapat sebarang duit atau tidak,” katanya sambil menyatakan kementerian setakat ini belum menerima sebarang hasil siasatan SPRM.

Khalid berkata demikian ketika ditanya mengenai desakan kumpulan anti-rasuah Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) baru-baru ini yang menuntut supaya pihak Kementerian mendedahkan hasil siasatan SPRM terhadap tawaran tanah yang rendah oleh DBKL . – BERNAMA

Loading...