JPN P.Pinang Siasat Punca 13 Pelajar Terhidu Gas Iodin

PUTRAJAYA – Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang sedang menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca kejadian yang melibatkan seramai 13 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bayan Lepas, Pulau Pinang terhidu gas iodin semasa menjalankan uji kaji di makmal sekolah tersebut semalam.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam satu kenyataan berkata, kejadian itu berlaku ketika 19 orang pelajar dengan bantuan seorang guru sedang melakukan uji kaji proses pemanasan hablur iodin.

Jelasnya, pihak sekolah mempunyai prosedur operasi standard untuk dipatuhi apabila mengendalikan uji kaji di makmal.

“Siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca kejadian.

“Dalam kejadian itu, seramai 12 orang terhidu gas iodin dengan seorang daripadanya telah dibawa ke Hospital Besar Pulau Pinang untuk pemeriksaan pesakit luar. 11 pelajar yang lain telah diberi rawatan di sekolah,” katanya.

Menurut kenyataan itu, pihak sekolah juga telah menghulurkan segala bantuan yang diperlukan kepada kesemua pelajar yang terlibat dalam kejadian itu.

Kosmo! Online semalam melaporkan, seramai 13 pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Bayan Lepas di sini dilaporkan mengalami sesak nafas dipercayai akibat terhidu gas iodin hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 9.45 pagi itu dipercayai berlaku ketika pelajar sebuah kelas tingkatan empat sedang melakukan uji kaji melibatkan bahan kimia itu di dalam makmal. – K! ONLINE

Loading...