JPN Lapor Polis Isu Warga China Dapat MyKad

PUTRAJAYA – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) hari ini membuat laporan polis terhadap pemilik akaun media sosial yang menyebarkan maklumat palsu berhubung isu kewarganegaraan kepada rakyat asing.

Ketua Pengarahnya, Datuk Ruslin Jusoh berkata, laporan pertama dibuat terhadap penularan kes lima MyKad didakwa milik warganegara China.
Beliau berkata, laporan polis kedua dibuat terhadap penularan kes seorang wanita warganegara China yang memiliki MyKad.

“Bagi kes lima MyKad, isu tersebut telah tular sejak 2015 di mana lima warganegara China itu adalah sindiket pemalsuan kad pengenalan di Sabah. Kes ini sudah diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) namun masih lagi dimainkan di media sosial.

“Bagi kes kedua, wanita itu merupakan isteri kepada warganegara Malaysia dan dia telah memohon mendapatkan kewarganegaraan berdasarkan Perkara 15(1) Perlembagaan Persekutuan. Berdasarkan kelayakan yang ada, dia telah diberikan kewarganegaraan,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Sehubungan itu, katanya, JPN berharap polis dapat membuat siasatan menyeluruh berikutan maklumat disebarkan adalah tidak benar sama sekali.

“Banyak anggapan ditimbulkan masyarakat kononnya JPN dengan mudah memberi kewarganegaraan kepada rakyat asing. Sebenarnya tidak mudah kerana dalam kes wanita itu, dia telah berkahwin dengan warganegara Malaysia hampir 20 tahun dan memiliki MyPR.

“Saya harap pihak pemilik media sosial hentikan tohmahan kepada JPN kerana segala pertimbangan yang kita buat adalah berdasarkan Akta Pendaftaran Negara dan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, JPN tidak akan bertolak ansur sekiranya ada kakitangannya terlibat dalam pemalsuan dokumen kad pengenalan.

“Kita terima banyak dakwaan mengatakan kakitangan JPN korup dan terlibat dalam aktiviti pemalsuan dokumen. Tetapi kita minta pihak yang mempunyai maklumat tampil melaporkannya secara rasmi kepada kita.

“JPN memandang serius perkara ini dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana kakitangan terlibat. Ada beberapa kes masih dalam siasatan tetapi kita tunggu laporan lanjut pihak polis,” katanya.