JPN Lancar Khidmat ePayment, Kurang Risiko Urus Tunai

KUALA TERENGGANU – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) hari ini melancarkan perkhidmatan ePayment secara rasmi di Terengganu bagi mengurangkan risiko pengurusan tunai di kaunter.

Ketua Pengarah JPN Datuk Mohammad Razin Abdullah berkata negeri ini telah menjadi perintis projek berkenaan dan ia bertepatan dengan usaha kerajaan untuk meningkatkan pembayaran tanpa tunai bagi elak isu ketirisan, rasuah dan kehilangan wang di kaunter-kaunter kerajaan.

Katanya, ia juga sebagai usaha menyediakan tambahan mod bayaran melalui penggunaan kad debit dan kad kredit, malah perkhidmatan ePayment itu juga selamat dan efisien.

“Projek rintis perkhidmatan ePayment telah mula dilaksanakan di cawangan UTC (Pusat Transformasi Bandar) Kuala Terengganu pada Mei lepas dan diperluaskan di kaunter bahagian kad pengenalan, bahagian perkahwinan dan perceraian serta bahagian kewarganegaraan di ibu pejabat (Kuala Lumpur) pada Ogos lepas.

“Terkini pada September lalu ePayment dilaksanakan di UTC Pasir Gudang, Johor. Ia akan diperluaskan ke cawangan JPN lain secara berperingkat,” katanya ketika melancarkan pelaksanaan kempen ePayment JPN UTC Kuala Terengganu dan majlis anugerah perkhidmatan terbaik JPN Terengganu, yang turut dihadiri Pengarah JPN negeri Mohamad Nasir Kareem.

Mohammad Razin berharap dengan adanya program itu, orang ramai dapat membuat pilihan dalam membuat bayaran dan kini, pelbagai promosi serta program kesedaran sedang giat dilakukan .

Katanya, penggunaan perkhidmatan itu amat menggalakkan di Terengganu terutama dalam pengeluaran MyKad, sijil kelahiran dan sijil warganegara.

Mengikut rekod, sejak program itu dilaksanakan Mei lepas sebanyak 1,711 transaksi telah direkodkan, sebanyak 1,851 transaksi dalam bulan Jun; 2,318 (Julai); 1,544 (September); 1,198 (Oktober) dan 500 transaksi sehingga 18 Nov lepas. – BERNAMA

Loading...