JPJ Sita Bas Sekolah Dipandu Wanita Tiada Lesen

KOTA BHARU – Cubaan seorang wanita yang memandu sebuah bas sekolah tanpa lesen memandu yang sah untuk meloloskan diri daripada sekatan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Jalan Hamzah di sini, dengan mengundurkan kenderaannya, gagal, apabila ditahan anggota JPJ.

Timbalan Pengarah JPJ Kelantan, Mohd Apandi Jusoh berkata kesalahan lain ialah cukai jalan tamat tempoh, tiada perlindungan insurans, tiada Lesen Kenderaan Awam (PSV) serta permit pemeriksaan berkala bagi pengangkutan awam daripada Puspakom sudah tamat tempoh.

“Wanita berusia 47 tahun itu mendakwa beliau memandu bas tersebut untuk ke bengkel kenderaan bagi dibaiki namun semua itu dipercayai sebagai alasan kerana dia kemungkinan dalam perjalanan mengambil pelajar sekolah,” katanya kepada pemberita selepas Operasi Khas Pengarah Siri 2 di sini, hari ini.

Mohd Apandi berkata bas milik wanita tersebut terpaksa disita oleh JPJ untuk dihantar kepada Puspakom bagi pemeriksaan lanjut.

“Kami menasihatkan pengusaha bas atau pengangkutan awam agar memastikan kenderaan dalam keadaan baik dan jangan sesekali memandu tanpa Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan insurans,” katanya.

Mohd Apandi berkata pihaknya turut menyita tujuh motosikal yang sudah tamat cukai jalan antara tiga bulan hingga lima tahun.

Dalam operasi itu, sebanyak 150 notis saman dikeluarkan JPJ kepada pengguna jalan raya kerana pelbagai kesalahan dan kesalahan paling banyak tiada lesen memandu, katanya.

“Sejak Januari hingga September lepas, sebanyak 21,832 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan manakala bagi kesalahan tiada lesen memandu sebanyak 7,539 kes,” katanya.

Mohd Apandi berkata seramai 21 anggota JPJ terlibat dalam operasi itu yang bermula 9.30 pagi hingga 12.30 tengah hari di Jalan Hamzah di sini. – BERNAMA

Loading...