JPA Diarah Laksana Pusingan Kerja Pegawai Jawatan Sensitif

PUTRAJAYA – Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, berkata Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sudah diarahkan untuk melaksanakan pusingan kerja bagi pegawai di jawatan-jawatan sensitif yang cenderung kepada isu berkaitan salah laku rasuah.

Dalam kenyataan hari ini yang dikeluarkan susulan pendedahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkenaan sindiket kartel tender kerajaan, Mohd Zaki menyatakan kekesalannya terdapat segelintir penjawat awam yang membenarkan diri mereka diperguna oleh pihak berkepentingan untuk habuan lumayan.

“Saya memberi jaminan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana penjawat awam yang terbabit dalam isu ini ataupun sebarang salah laku yang menjejaskan imej perkhidmatan awam sekiranya dibuktikan bersalah,” katanya.

Mohd Zuki berkata, pendedahan SPRM berkenaan sindiket kartel tender kerajaan yang bernilai RM3.8 bilion amat membimbangkan.

Menurutnya, kes itu mula dikesan sejak 2014 dan hasil pemerhatian serta risikan berterusan pihak SPRM berjaya membawa kepada penahanan beberapa individu yang menjadi suspek utama siasatan.

Dilaporkan, SPRM menumpaskan sindiket kartel projek yang memonopoli 345 tender kementerian dan agensi kerajaan bernilai RM3.8 bilion dengan penahanan tujuh individu, termasuk ketua sindiket pada Ahad lalu.

Ketua sindiket berusia 47 tahun dikatakan mengawal lebih 150 syarikat yang berfungsi untuk memasuki tender atau sebut harga di kementerian dan agensi yang terbabit. 

Menurut laporan, modus operandi kartel ialah membayar rasuah kepada ‘orang dalam’ untuk mendapat maklumat berhubung spesifikasi, harga siling, harga jabatan, jumlah penyertaan, kelayakan syarikat dan masa yang sesuai untuk menghantar borang tender dan sebut harga.

Mohd Zuki berkata, beliau menyokong penuh usaha untuk membanteras apa juga bentuk salah laku dan penyelewengan yang berlaku dalam sistem penyampaian kerajaan terutama isu berkaitan rasuah yang dikendalikan oleh SPRM.

“Saya sudah berulang kali memberi peringatan kepada semua ketua jabatan supaya menerap dan memegang utuh konsep integriti dalam pengurusan organisasi dengan memperkukuh program kesedaran dan pencegahan selaras dengan pelaksanaan Pelan Antirasuah Nasional (NACP),” katanya. – BERNAMA