Jotun Sumbang 2,500 Liter Cat Untuk Projek DBKL

KUALA LUMPUR – Sejumlah 2,500 liter cat ‘Jotashield Antifade Colours’ keluaran Syarikat Jotun akan disumbangkan untuk projek mencantikkan bangunan dan lorong kendalian Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Kerjasama dengan DBKL akan menyaksikan beberapa lorong dan bangunan ikonik dicat menggunakan Jotashield Antifade Colours untuk melindungi dan mempertingkatkan penampilan lokasi-lokasi penting di ibu kota, kata Pengarah Urusan Jotun Malaysia dan Singapura, Eric Mallace.

Beliau berkata usaha bersama pertama dengan DBKL itu adalah untuk memberi tumpuan kepada pemeliharaan budaya dan warisan Malaysia menerusi penambahbaikan dan pengindahan Kuala Lumpur.

“Mengecat beberapa lorong dan bangunan yang paling ikonik di Kuala Lumpur dengan Jotashield Antifade Colors memastikan prestasi warna yang lebih tahan lama untuk menjadikannya kelihatan cantik, selain meyelaputinya dengan perlindungan ultraviolet yang mampu bertahan 50 peratus lebih lama daripada sebelumnya,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Pengarah Jabatan Perancang Bandar, DBKL, Nurazizi Mokhtar berkata DBKL sedang melaksanakan projek bersama Think City, anak syarikat Khazanah Nasional Bhd, untuk meremajakan lorong-lorong Kuala Lumpur sambil membina persekitaran hidup yang berdaya tahan untuk masyarakat setempat.

“Lorong Yap Ah Loy, di sini akan menjadi jalan pertama untuk dibangunkan dalam kerjasama kami yang merangkumi ujian keprihatinan masyarakat, kajian semula dan akhirnya, peringkat pelaksanaan peningkatan untuk keseluruhan laluan yang dijangka bermula Oktober ini,” katanya.

Beliau berkata beberapa lorong-lorong terpilih akan menjadi antara yang pertama di Kuala Lumpur untuk dicat dengan cat baharu Eksklusif Trend 2018 keluaran Jotun yang dicipta menerusi nasihat pakar-pakar dan profesional industri.

Untuk maklumat lanjut mengenai Jotashield Antifade Colours, lawat laman Facebook dan Instagram Jotun Malaysia.

Ditubuhkan pada tahun 1926 di Sandefjord, Southeastern Norway, Jotun adalah salah satu syarikat cat terbesar dunia, dengan produknya digunakan di lebih 100 negara di seluruh dunia. – BERNAMA

Loading...