Johor Tidak Mahu Ketinggalan Teroka Bidang Ekonomi Kreatif

BATU PAHAT – Kerajaan Negeri tidak mahu ketinggalan dan mahu bergerak seiring dengan negara maju seperti United Kingdom, Jepun dan Jerman dalam penerokaan bidang ekonomi kreatif yang menjadi bidang ekonomi yang baharu.

Menteri Besar, Datuk Osman Sapian berkata pendekatan itu penting agar Johor dapat membangun dengan aset serta potensi yang kreatif serta bersedia ke arah menyemarakkan lagi ekonomi yang lebih baik pada masa hadapan.

Kerajaan Negeri sekarang giat menjalankan pelbagai inisiatif, rancangan dan pelaksanaan bagi membuktikan keikhlasan serta betapa seriusnya untuk membangunkan sektor ekonomi kreatif di negeri ini.

“Kerajaan Negeri akan memperluaskan lagi sektor ini melalui pembentukan dasar-dasar yang mesra ekonomi kreatif dan perkara ini bukan suatu yang asing dan sekiranya dapat direalisasikan, kita akan menempatkan Johor di dalam peta ekonomi kreatif dunia,” katanya ketika berucap merasmikan Karnival Ayer Hitam Putih dan Penyerahan Kunci Arena Warna Ayer Hitam di Ayer Hitam di sini, malam tadi.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Keusahawanan, Koperasi dan Ekonomi Kreatif negeri, Sheikh Umar Ali dan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kebudayaan negeri, Mohd Khuzzan Abu Bakar.

“Sebagai sokongan kerajaan negeri terhadap usahawan ekonomi kreatif ini, festival yang julung kali diadakan ini dapat dijadikan platform untuk membantu penggiat seni tempatan untuk memasarkan produk seni dan perkhidmatan kreatif usahawan tempatan.

“Johor memerlukan anjakan pertumbuhan ekonomi yang baharu dan sebab itulah ekonomi kreatif ini perlu dibangunkan di negeri ini kerana ekonomi Johor bukan sahaja mengenai sektor pembinaan dan hartanah,” katanya.

Di dalam teras keempat Pelan Pembangunan Mampan Johor 2019-2030, keusahawanan dan ekonomi kreatif perlu bergerak seiring bagi memastikan hasrat Kerajaan Negeri untuk mencapai pertumbuhan ekonomi yang mapan dapat dilaksanakan.

“Saya juga mempelawa seluruh Bangsa Johor untuk menghantar pandangan dan cadangan berkaitan Bajet Johor 2019 yang akan dibentangkan pada bulan hadapan dengan menghantarnya ke laman Facebook rasminya, Osman Sapian atau email ke bajetjohor2019@johor.gov.my,” katanya. – BERNAMA

Loading...