Johor & Malaysia Bukan “Islamic State” – Kit Siang

KUALA LUMPUR – Malaysia berterima kasih kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar kerana menitahkan operasi kedai dobi hanya untuk umat Islam di Muar dihentikan.

Pemimpin Pakatan Harapan daripada parti DAP, Lim Kit Siang berkata, kata-kata Sultan Johor adalah betul bahawa Johor dan Malaysia bukan “Islamic State”.

“Iaitu Johor dan Bangsa Johor tergolong dalam semua bangsa dan agama, menegakkan negara yang progresif, moden dan sederhana,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pakatan Harapan dibarisi DAP, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (PAN).

Kit Siang dalam kenyataannya turut membayangkan kewujudan dobi khas untuk umat Islam melambangkan ekstremisme, sikap tidak bertoleransi dan ketaksuban.

Gambar dobi mesra Muslim di Johor itu tular minggu lalu apabila dilaporkan hanya pelanggan Islam dibenarkan menggunakan mesin pencuci pakaian di premis itu.

Pemilik dobi itu bagaimanapun menjelaskan dia menawarkan perkhidmatan khas tersebut bagi mengelakkan pakaian yang terkena najis mughallazah di basuh di dobi berkenaan sekali gus menjamin kesucian pakaian umat Islam yang dibasuh di dobi tersebut.

Media bagaimanapun melaporkan, Sultan Johor mengarahkan operasi dobi khas untuk pelanggan beragama Islam itu ditamatkan segera atau berdepan tindakan ditutup oleh baginda.

Titah baginda, Johor adalah negeri milik Bangsa Johor dan milik semua rakyat tidak kira bangsa dan agama dan Johor adalah negeri pprogresif, moden dan bersederhana.

“Ini bukan negara Taliban dan sebagai Ketua Agama Islam di Johor, beta merasakan tindakan ini sama sekali tidak boleh diterima dan bersifat ekstremis.

“Beta mahu pemilik dobi itu memohon maaf kepada beta dan seluruh rakyat Johor. Dia telah membuat orang Johor malu dan marah kerana ini bukanlah apa yang Johor mahukan,” titah baginda. – MYNEWSHUB.CC