Johor Cipta Sejarah Lantik ADUN Bebas

JOHOR melakar sejarah negeri apabila melantik Ahli Majlis Kerajaan Negeri (EXCO) Johor yang pertama di kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebas.

ADUN Pemanis, Dr. Chong Fat Full mengangkat sumpah sebagai seorang daripada barisan EXCO pentadbiran Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad, di Istana Bukit Serene, pagi tadi.

Namun kejutan berlaku apabila satu-satunya ADUN PAS di Johor, Kapten (B) Najib Lep (Bukit Pasir) yang hampir pasti dilantik sebagai EXCO tidak dilantik sebaliknya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mendapat tambahan kerusi EXCO daripada jangkaan tiga kepada empat.

ADUN Larkin, Mohd Izhar Ahmad yang juga Bendahari Bersatu Johor menyertai barisan EXCO bersama Pengerusi Bersatu Johor, Mazlan Bujang (Puteri Wangsa), Setiausaha Bersatu Johor, Mohd Solihan Badri (Tenang) dan Tosrin Jarvanthi (Bukit Permai).

Barisan EXCO kali ini juga membariskan enam muka baharu yang pertama kali diangkat mentadbir negeri termasuk Datuk Samsolbari Jamali (BN-Semarang); Ayub Jamil (BN-Rengit), Zaiton Ismail (BN-Sungai Balang), Datuk Onn Hafiz Ghazi (BN-Layang-Layang), selain Mohd Izhar Ahmad (BERSATU-Larkin) dan Dr. Chong Fat Full (Bebas-Pemanis). – myMetro Online

Berikut adalah senarai tugas portfolio EXCO Johor:

1. Datuk Hasni Mohammad – Menteri Besar Johor, merangkap Pengerusi Jawatankuasa Hasil Bumi, Pentadbiran, Kewangan, Perancangan dan Pembangunan Ekonomi Johor.

2. Datuk Samsolbari Jamali – Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor.

3. Mazlan Bujang – Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor.

4. R Vidyananthan – Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johod.

5. Tosrin Jarvanthi- Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor.

6. Ayub Jamil – Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor.

7. Mohd Solihan Badri – Pengerusi Jawatankuasa Kerja raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor.

8. Zaiton Ismail – Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor.

9. Datuk Onn Hafiz Ghazi – Pengerusi Pelancongan, Belia dan Sukan Johor.

10. Mohd Izhar Ahmad – Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Ushawan, Koperasi dan Sumber Manusia Johor.

11. Dr. Chong Fat Full – Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna.

Loading...