Johor Cadang Bina Jambatan Ketiga Ke Singapura

ISKANDAR PUTERI – Cadangan pembinaan jambatan ketiga ke Singapura akan diusulkan kepada Kerajaan Persekutuan bagi mengatasi kesesakan di Tambak Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor, Mohd Solihan Badri berkata, cadangan berkenaan adalah wajar kerana Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Linkedua yang dibina pada 2003 akan mencapai kapasiti penuh pada 2020.

“Jadi pembesarankawasan berkenaan tidak banyak menyelesaikan masalah. Oleh itu cadangan bagi kajian untuk pembinaan jambatan ketiga adalah wajar,” katanya pada sidang akhbar ketika Mesyuarat Ketiga (Belanjawan Johor 2020) Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Ke-14 di Kota Iskandar di sini hari ini.

Terdahulu Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN) Gambir, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin mengemukakan cadangan supaya Kerajaan Persekutuan mengkaji pembinaan jambatan ketiga ke Singapura itu.

Mohd Solihan berkata, terdapat beberapa cadangan lokasi untuk pembinaan jambatan tersebut namun tertakluk kepada Kerajaan Persekutuan.

“Sehingga kini tiada makluman jambatan ketiga akan dibina dari Pontian tetapi apa yang saya maklum cuma akan ada perkhidmatan feri ke Singapura dari Kukup, Pontian,” katanya.

Pada Pilihan Raya Kecil ( PRK) Tanjung Piai, Kerajaan Pakatan Harapan bercadang memperkenalkan perkhidmatan feri baharu menghubungkan Kukup di sini dengan Tuas, Singapura.

Loading...