Johari Terima Manuskrip ‘Mengapa Anwar Tak Boleh Jadi PM’

KUALA LUMPUR – Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Kedah, Datuk Johari Abdul melaporkan kepada polis mengenai sebuah manuskrip buku bertajuk ‘Mengapa Anwar tidak boleh jadi PM’ yang diterimanya daripada seorang penulis bernama Yahaya Ismail.

Johari juga berkata manuskrip berkenaan sarat dengan fitnah dan tohmahan yang keji terhadap Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya telah menerima sebuah buku yang dikirim sendiri oleh penulis yang saya tidak kenal pada 10 Jun lepas tetapi saya telah membaca buku berkenaan dan ia menyebut mengenai homoseksualiti, korupsi dan ejen Zionis Israel serta Amerika Syarikat yang dikaitkan dengan Anwar.

“Dalam manuskrip itu juga mempersoalkan tindakan Yang di-Pertuan Agong memberi pengampunan penuh kepada Anwar, tindakan penulis itu umpama memperlekehkan institusi Raja-Raja Melayu.

“Dalam manuskrip itu juga penulis mempromosikan seorang pemimpin yang beliau fikirkan layak untuk menjadi Perdana Menteri.

“Mana-mana pihak pun berhak utarakan pandangan namun tindakan penulis menfitnah Anwar adalah tidak wajar,” katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat PKR, Damansara, pada Rabu.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Sungai Petani itu juga berkata beliau menyokong tindakan mendedahkan pemimpin terlibat dengan salah laku jenayah seperti 1 Malaysia Development Berhad (1MDB), Tabung Haji dan Tabung Angkatan Tentera namun pendedahan itu perlu berlandaskan fakta dan kebenaran.

“Semua pimpinan negara dan seluruh rakyat perlu menolak politik jijik dan keji, penulisan sebegini merupakan politik keji yang tidak berpandukan fakta serta sarat dengan fitnah yang direka.

“Saya difahamkan penulis berumur 70 tahun, bayangkanlah apa terjadi kepada anak muda jika penulisan begini dihidangkan kepada mereka? Maka sebab itulah saya ambil tindakan untuk dedahkan apa yang ditulis dalam manuskrip ini,” jelas beliau. – Astro AWANI

Loading...