JKNJ Nafi Pelajar Disyaki Koronavirus Ditahan Polis

JOHOR BAHRU – Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) menafikan seorang pelajar yang positif koronavirus (Covid-19) di sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Kulai Besar, Kulai ditahan polis seperti yang tular di media sosial sejak, petang semalam.

Menjelaskan perkara itu Pengarah JKNJ, Dr. Aman Rabu berkata, sebaliknya pelajar berkenaan dibawa ke hospital untuk siasatan lanjut bagi kes disyaki berjangkit.

“Laporan polis dibuat oleh pihak hospital selepas pelajar terbabit yang disyaki menghidap penyakit berjangkit itu dibawa pulang oleh keluarganya walaupun dia perlu dimasukkan ke wad untuk pemerhatian dan siasatan lanjut.

“Tindakan terhadap pesakit yang disyaki menghidap penyakit berjangkit itu adalah mengikut prosedur bagi memastikan pesakit mematuhi arahan hospital.

“Memandangkan kes ini adalah disyaki berjangkit, polis meminta bantuan ambulans untuk membawa kanak-kanak itu ke wad,” katanya dalam satu kenyataan.

Petang semalam, tular di media sosial berkaitan laporan polis mengenai pasangan ibu bapa yang kononnya telah melarikan anak mereka yang disyaki dijangkiti Covid-19 dari kuarantin sebuah hospital kerajaan.

Sehubungan itu Dr. Aman berkata, beliau meminta masyarakat tidak menularkan berita yang tidak tepat hingga boleh menimbulkan situasi panik dalam kalangan masyarakat.

Tegasnya, JKNJ menafikan dakwaan yang menyatakan kanak- kanak positif kes koronavirus ditangkap polis seperti yang tular itu. – Sinar Harian

Loading...