JKNJ Nafi Arah SJKC Tutup Kelas Susulan COVID-19

JOHOR BAHRU – Jabatan Kesihatan Johor (JKNJ) menafikan pihaknya mengarah sebuah sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC), di sini, menutup sebuah kelas dan melarang bilik darjah itu didekati berikutan bapa seorang murid disahkan dijangkiti COVID-19.

Pengarahnya, Dr. Aman Rabu, berkata pihak sekolah terbabit mendapat maklumat daripada sumber lain yang belum disahkan dan mengambil tindakan sendiri untuk mencegah jangkitan.

Beliau menegaskan, JKNJ tidak pernah mengarahkan mana-mana sekolah untuk melakukan sebarang penutupan sekolah mahupun menghalang murid daripada menghadiri kelas.

“Bagaimanapun, JKNJ mengesahkan sekolah terbabit adalah sekolah di mana seorang kanak-kanak menjadi kontak kepada kes COVID-19 yang dirawat di Singapura, Isnin lalu.

“JKNJ menjalankan pengesanan kontak kes COVID-19 itu, termasuk mengambil langkah pencegahan dan kawalan di kediaman kes,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Beliau berkata, terdapat tiga kontak rapat dikenal pasti, iaitu isteri dan dua anak mereka berusia enam dan lapan tahun.

“Hasil pemeriksaan ke atas kedua-dua kanak-kanak terbabit mendapati mereka negatif jangkitan COVID-19.

“Mereka masih diasingkan di hospital sebagai kes kontak positif, manakala status isteri kes berkenaan sedang dalam siasatan hospital terbabit,” katanya.

Semalam, tular dalam media sosial mengenai sebuah SKJC, di sini, mengambil tindakan menutup kelas dan melarang semua mendekatinya susulan dakwaan bahawa ibu bapa seorang murid di sekolah itu dilaporkan positif COVID-19. – BH Online

Loading...