Jika Ditambah RM196 Bilion, Hutang Negara Cecah RM1 Trilion

KUALA LUMPUR – Hutang negara didakwa meningkat lagi minggu ini kepada RM804 bilion, kenaikan RM118 bilion berbanding RM686 bilion pada akhir tahun 2017 semasa kerajaan di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN).

Dengan kenaikan itu, hutang negara dijangka mencecah RM1 trilion jika ditambah kepada RM196 bilion lagi, kata Datuk Seri Najib Razak.

Sejak pertengahan bulan Julai, Kerajaan Pakatan Harapan sudah meminjam sebanyak RM7 bilion dan hanya bayar balik RM1.1 bilion.

“Bulan Jun pinjam RM8 bilion tak bayar balik. Bulan Mei pinjam RM12 bilion, tak bayar balik apa-apa.

“Hutang bon domestik campur hutang luar (termasuk bon samurai dan belum kira bon panda) dah cecah RM804 bilion.

“Satu alasan tak masuk akal yang saya sering baca dari penyokong PH ialah kerajaan terpaksa pinjam kerana hutang yang Najib tinggalkan.

“Oh ye ke?” katanya sambil mempersoalkan adakah cara hendak menutup lubang lama dengan gali lubang jauh lebih besar.

Bekas perdana menteri itu menegaskan semasa pentadbiran BN, hutang negara juga naik tapi dengan kadar lebih rendah.

“Masa BN, walaupun hutang naik tapi rizab Petronas naik, aset-aset negara bertambah dan bantuan kepada rakyat naik setiap tahun.

“Masa PH, hutang naik dengan kadar jauh lebih tinggi, rizab Petronas dijarah sehingga Petronas diturunkan taraf, aset-aset negara terus dijual, bantuan dimansuh atau dikurangkan dan janji-janji mereka terus dicapatikan,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

Loading...