Jho Low Usul Nama Ratu Rania, Bono Jadi Pemegang Amanah TIA

KUALA LUMPUR – Permaisuri Jordan, Ratu Rania; penyanyi kumpulan U2, Bono dan Pengerusi merangkap Ketua Eksekutif Louis Vuitton, Bernard Arnault merupakan antara nama yang dicadangkan dilantik sebagai anggota pemegang amanah Yayasan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA).

Nama-nama berkenaan disebut oleh peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Datuk Seri Najib Tun Razak ketika sesi soal balas saksi pendakwaan kelapan iaitu bekas pegawai khas bekas Perdana Menteri, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin.

Mahkamah Tinggi di sini yang mendengar perbicaraan terhadap Najib yang didakwa atas 25 pertuduhan salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram diberitahu bahawa cadangan itu diusulkan Jho Low dalam mesyuarat TIA pada Mac 2009.

Muhammad Shafee mencadangkan bahawa individu berkenaan langsung tidak mengetahui perkara itu, bagaimanapun Amhari sekadar menjawab “tidak tahu”.

Muhammad Shafee: Saya cadangkan bahawa nama-nama itu dicadang Jho Low supaya kerajaan Negeri Terengganu dan Kerajaan Persekutuan kagum walaupun realitinya ia tidak menjadi kenyataan?

Amhari: Saya tidak tahu.

Muhammad Shafee: Pernahkah kamu cuba dapatkan maklumat mengenai mereka?

Amhari: Seingat saya cuma Bernard Arnault. Saya tidak bertanya lebih lanjut mengenai perkara itu daripada Jho Low.

Perbicaraan masih berlangsung. – UTUSAN ONLINE

Loading...