KUALA LUMPUR – Peguam bela Low Taek Jho, atau lebih dikenali sebagai Jho Low, menubuhkan sebuah laman web pada Isnin lalu dalam usaha untuk membersihkan nama anak guam mereka.

Menurut agensi berita antarabangsa Reuters, kenyataan yang tertera pada laman sesawang tersebut menyifatkan latar peribadi ahli perniagaan tempatan itu sebagai “seorang dermawan global, pelabur dan usahawan”.

Low yang disyaki ada hubungan rapat dengan Datuk Seri Najib Razak, sedang diburu pihak berkuasa Malaysia berhubung pembabitannya dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bernilai berbilion-bilion dolar.

Beliau yang berasal dari Pulau Pinang itu bagaimanapun kekal menegaskan bahawa dirinya tidak bersalah atas dakwaan jahat itu dan menegaskannya sekali lagi menerusi surat yang dimuat naik menerusi laman tersebut.

“Biar saya jelaskan: Saya memang tidak bersalah. Jika dilihat kembali, saya mungkin melakukan perkara dengan cara lain, sama seperti anak muda lain,” kata Low dalam surat itu sambil mendakwa dirinya jadi mangsa politik.

Beliau yang turut diburu pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) seterusnya menjelaskan: “Namun, apa-apa kesilapan yang saya pernah buat itu sebenarnya tidak seteruk seperti dakwaan yang dibuat terhadap saya.”

Benjamin Haslem, ketua eksekutif bersama syarikat perhubungan awam yang mewakili Low, Wells Haslem Mayhew Strategic Public Affairs memberitahu Reuters dalam satu kenyataan bahawa laman itu dibangunkan bagi pihak Low.

Ia malah diwujudkan “menerusi nasihat guamannya, untuk menyalurkan maklumat kepada orang awam”. Pihak polis Bukit Aman sudah mengeluarkan waran tangkap terhadap Low berhubung skandal 1MDB.

Menurut Jabatan Keadilan AS, lebih AS$4.5 bilion diselewengkan daripada 1MDB, dengan sebahagian digunakan untuk biayai pembelian pesawat peribadi, kapal mewah, karya seni Picasso, barang kemas dan hartanah.

Najib, yang mengasaskan 1MDB, didakwa pihak penguasa Malaysia atas pengubahan wang haram, pecah amanah dan salah guna kuasa. Beliau menyangkal semua dakwaan berbaur politik tersebut dan mengaku tidak bersalah.

Dalam suratnya, Low, 36, berkata banyak dakwaan terhadapnya datang dari blog, maklumat bocor yang tidak betul dari agensi pemerintah merata dunia ataupun tuduhan yang tidak dibuktikan di mahkamah.

Anehnya, beliau tidak pernah diberikan kesempatan untuk menjelaskan perkara yang sebenar. “Laman web ini adalah satu usaha untuk mengubah semua tanggapan itu,” kata Low. – Agensi/Mynewshub.TV

Loading...