Jho Low Bayang-Bayang Najib

KUALA LUMPUR – Pasukan pendakwaan bagi perbicaraan kes 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) menyifatkan, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan ahli perniagaan dikehendaki Jho Low sebagai ‘bayang-bayang’ dalam memainkan peranan mereka dalam skandal 1MDB sehingga skandal tersebut terbongkar pada awal Julai 2015.

Perkara itu dinyatakan menerusi kenyataan pembukaan yang dibacakan bekas hakim Mahkamah Persekutuan, yang dilantik sebagai pendakwa raya kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram pada hari pertama perbicaraan kes rasuah 1MDB di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di sini hari ini.

Malah pendakwaan mengibaratkan Jho Low dan Najib sebagai ‘satu’ bahkan mereka bagaikan cermin.

“Jika diletakkan Najib di hadapan cermin akan terlihat Jho Low, dan begitu juga sebaliknya,” katanya.

Menurut Sri Ram, pendakwaan akan membuktikan bahawa tertuduh (Najib) melalui kata-kata dan tindakannya memberi arahan kepada pegawai 1MDB, Lembaga Pengarah dan lain-lain bahawa Jho Low adalah ‘alter ego’ namun sebenarnya Jho Low merupakan bayangan tertuduh.

“Karektor terpenting dalam drama bersiri ini adalah Jho Low yang telah melarikan diri daripada sistem kehakiman yang mana pada mulanya dikenali sebagai Lembaga Pelaburan Terengganu atau TIA sebelum tertuduh memainkan peranan penting dalam menukar namanya kepada 1MDB,” katanya.

Ujarnya, kes berkenaan membabitkan empat fasa, yang mana kesemua fasa itu adalah sebahagian drama bersiri membabitkan kisah berlanjutan dan terancang oleh tertuduh untuk kemewahan dirinya.

“Empat tuduhan mengikut Seksyen 23 akta SPRM adalah berdasarkan kepada setiap empat fasa ini.

“Berdasarkan pertuduhan berkenaan pihak pendakwaan akan membuktikan melalui bukti langsung dan bukti mengikut keadaan bahawa tertuduh dalam kapasiti sebagai bekas Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan kemudian selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan mengambil beberapa langkah yang membawa kepada dana 1MDB disalurkan kepada akaun beliau melalui laluan ‘rahsia’ untuk mengelakkan aktivitinya dikesan,” katanya.

Tambahnya, tertuduh telah menggunakan kedudukannya untuk kepuasan diri di mana dalam setiap fasa ini tertuduh bersama Jho Low bertindak sebagai satu. – Sinar Harian