Jerebu: JPN Diberi Kuasa Penutupan Sekolah

ALOR GAJAH – Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) mempunyai prosedur operasi standard (SOP) untuk memberi arahan penutupan sekolah jika bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) kritikal dan mengundang bahaya kepada pelajar dan guru.

Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berkata, JPN diberi kebenaran sepenuhnya dan sebarang keputusan penutupan sekolah di bawah kuasa pihak berkenaan yang lebih tahu mengenai cuaca serta tahap keselamatan sekolah.

Menurutnya, pihak sekolah perlu berhubung dan merujuk arahan JPN berhubung situasi itu termasuk lebih 270 sekolah yang diarahkan berbuat demikian di Sarawak hari ini.

“Kalau kita lihat setiap jabatan pendidikan negeri mempunyai SOP masing-masing dan mereka berhubung rapat dengan jabatan berkaitan seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS).

“Mereka juga perlu pastikan apabila sampai bacaan tertentu sekolah diarahkan tutup jadi mereka (sekolah) perlu merujuk kepada JPN. Apa yang penting kita meletakkan isu kesihatan dan keselamatan kanak-kanak serta guru pada tahap yang tinggi,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Sekolah Menengah Kebangsaan Rahmat di Kuala Sungai Baru, di sini hari ini.

Maszlee ketika ditemui media selepas mengadakan lawatan kerja ke Sekolah Menengah Kebangsaan Rahmat di Kuala Sungai Baru, di sini hari ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Linggi, Datuk Ismail Othman dan Timbalan Pengarah Pendidikan negeri, Mohd Rashid Mohd Sidek.

Terdahulu, lebih 275 sekolah membabitkan lapan daerah di Sarawak ditutup hari ini selepas bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan terbabit diambil kira sehingga jam enam petang semalam.

Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Sarawak, Abang Mat Ali Abang Masagus berkata, daerah terlibat termasuk Kuching, Samarahan, Padawan, Serian, Sri Aman, Betong, Bau dan Lundu.

Bagaimanapun peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di sekolah terlibat berjalan seperti biasa.