Jerebu: Jokowi Malu Dengan Malaysia, Singapura

JAKARTA – Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) hari ini merasa malu dengan Malaysia dan Singapura yang sentiasa terganggu dengan masalah jerebu akibat kebakaran hutan di negara itu.

Memetik laporan portal berita Kompas.com, Jokowi meminta pihak berkuasa negara itu mengambil serius isu tersebut dan menangani kes kebakaran hutan yang merekodkan peningkatan pada tahun ini berbanding 2018.

“Saya kadang-kadang malu. Minggu ini saya akan ke Malaysia dan Singapura tetapi saya tahu minggu lepas ia menjadi tajuk (berita utama akhbar Malaysia) ‘jerebu’ memasuki negara jiran kita sekali lagi.

“Saya periksa (apa yang dimaksudkan dengan ‘jerebu’), ternyata asap. Berhati-hati, malu jika kita tidak dapat menyelesaikannya,” katanya pada majlis Rapat Koordinasi Nasional Pengendalian Kebakaran Hutan di Istana Negara di Jakarta.

Jokowi berkata, beberapa tahun ini Malaysia dan Singapura bebas daripada masalah jerebu selepas isu kebakaran hutan di megara itu merekodkan penurunan.

“Mereka sudah gembira, empat tahun tidak pernah menjadi jerebu namun tahun ini, walaupun tidak pada skala seperti 2015, tapi masalah itu bermula kembali,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Jokowi juga memberi amaran tidak teragak-agak mengambil tindakan jika kes tersebut tidak dikendalikan dengan sempurna. – Agensi

Loading...