Jerebu: 538 Buah Sekolah Kini Ditutup Di Selangor

SHAH ALAM – Keadaan jerebu yang berterusan telah mengakibatkan 584,595 pelajar terjejas susulan penutupan 538 buah sekolah di Selangor ketika ini.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam kenyataan terbaharunya memaklumkan penutupan sekolah itu melibatkan sembilan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di negeri ini setakat pukul 6 pagi tadi. 

Katanya, ini termasuk PPD Petaling Perdana mencatatkan peningkatan sekolah kepada 139 buah sekolah, Klang (133), Petaling Utama (86), Hulu Langat (61), Sepang (52), Gombak (23), Kuala Langat (21), Sabak Bernam (18) dan Kuala Selangor (5).

“Penutupan ini berdasarkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di stesen Shah Alam, Putrajaya, Petaling Jaya dan Klang dengan bacaan melebihi 200 bermula jam 12 tengah malam sehingga jam 6 pagi tadi. 

“Selain itu, ia turut mengambil kira bacaan IPU di stesen Johan Setia, Nilai dan Seri Manjung pada jam 4 petang semalam,” katanya di sini hari ini. 

KPM bagaimanapun menyatakan hanya  PPD Hulu Selangor menjadi PPD tunggal tidak mencatatkan sebarang penutupan sekolah. 

Terdahulu dimaklumkan jumlah penutupan sekolah di Selangor terus meningkat kepada 214 buah berbanding 115 semalam berikutan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 200 iaitu pada tahap sangat tidak sihat.

Loading...