Jeneral Tentera Iran Terbunuh Serangan AS Di Baghdad

BAGHDAD – Jeneral tentera Revolusi Iran, Qassem Soleimani terbunuh dalam serangan udara tentera Amerika Syarikat (AS) di Lapangan Terbang Antarabangsa Baghdad, lapor Pentagon dan Iran.

Seorang lagi komander tentera Iraq, Abu Mahdi al-Muhandis yang juga penasihat kepada Qassem turut terkorban dalam serangan tersebut.

Pembunuhan berprofil tinggi itu dilihat seperti tamparan hebat kepada Iran yang kian lama berkonflik dengan AS apabila serangan dilakukan ke atas Kedutaan AS di Iraq minggu lalu oleh puak penyokong tentera Iran.

Serangan balas itu menyusul selepas tentera udara AS menyerang kem tentera Kataib Hezbollah yang diasaskan oleh Muhandis.

“Atas arahan Presiden AS (Donald Trump), tentera AS mengambil tindakan pertahanan yang tegas untuk melindungi semua pegawai AS di perantauan menerusi pembunuhan Qassem,” kata Pentagon dalam kenyataan hari ini.

Tindakan itu bertujuan menghalang sebarang serangan oleh Iran pada masa akan datang, tambah Pentagon.

Seorang pegawai tentera AS yang tidak mahu namanya disiarkan berkata, Qasseem dibunuh dalam serangan dron manakala Pengawal Revolusi Iran pula mendakwa Qassem terbunuh dalam serangan helikopter AS.

Gambar yang dikongsi tentera menunjukkan serpihan terbakar di jalan berhampiran lapangan terbang itu.

Menteri Luar Iran, Mohammad Javad Zarif berkata, pembunuhan Qassem akan memperkuatkan lagi tentangan terhadap AS dan Israel di rantau berkenaan serta dunia, lapor televisyen Iran.

“Kekejaman dan kebodohan pasukan pengganas AS dalam pembunuhan Komander Qassem..pasti akan menjadikan asas tentangan di rantau ini dan dunia,” kata Zarif dalam kenyataannya. – Agensi

Loading...