Jenazah Nassier Wahab Selamat Dikebumikan

JENAZAH Allahyarham Datuk Nassier Wahab, 57, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu Belah, di Klang, 11.30 pagi ini.

Terdahulu, jenazah penyanyi popular 1980-an itu dimandi dan disembahyangkan di Masjid Sirajuddin Al-Anuar, Kampung Batu Belah, jam 10.30 pagi tadi.

Lebih 300 ahli keluarga, saudara-mara, rakan artis dan kenalan mengiringi jenazah ke tanah perkuburan bagi memberikan penghormatan terakhir.

Antara yang hadir Datuk Seri Shah Rezza, Datuk DJ Dave, Datuk Khatijah Ibrahim, Datuk M Nasir, Datuk Nash dan ramai lagi.

Allahyarham meninggalkan isteri, Datin Fatimah Abd Rauf, 56, dan seorang anak, Intan Najihah.

Fatimah ketika ditemui pemberita berkata, Allahyarham dimasukkan ke hospital selepas mengadu tidak sihat kelmarin.

Katanya, ketika pemeriksaan awal di klinik, muka suami sudah pucat dan doktor mencadangkan untuk masuk wad bagi pemeriksaan darah.

“Kelmarin dan semalam arwah dimasukkan darah, semuanya baik. Namun, malam tadi arwah demam dan jururawat berikannya panadol sebelum dia tidur.

“Tidak lama selepas itu, arwah terbangun dan batuk, saya lihat di bantalnya ada darah, kemudian arwah muntah darah lagi yang sangat banyak,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Fatimah berkata, Allahyarham disahkan meninggal dunia pada 12.45 tengah malam tadi oleh pihak hospital.

Dalam pada itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang hadir dan menguruskan jenazah arwah suaminya.

“Ketika menjalani rawatan kemoterapi sebelum ini dia tak sihat dan agak lemah serta tak nak jumpa sesiapa kecuali keluarga terdekat.

“Saya bagi pihak keluarga ucapkan terima kasih kepada yang mendoakan dan meminta ampun maaf jika arwah ada melakukan kesilapan sepanjang hidupnya,” katanya. – myMetro Online

Loading...