Jenazah Ismail Kamus Selamat Disemadikan

KUALA LUMPUR – Jenazah Datuk Ismail Kamus selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid As-Sobirin, Lembah Keramat di sini, jam 11 pagi ini.

Suasana sayu mengiringi sepanjang majlis pengebumian pendakwah terkenal yang menghembuskan nafas terakhirnya kira-kira jam 12.30 tengah malam tadi.

Allahyarham meninggal dunia susulan penyakit komplikasi jantung di kediamannya di Ampang.

Terdahulu, jenazah dimandi dan disolatkan di Masjid As-Sobirin di sini, disertai kira-kira 500 orang yang hadir memberi penghormatan terakhir, pada jam 9 pagi.

Mengiringi jenazah ialah isteri Allahyarham, Datin Azizah Othman, 64, bersama anak bongsunya, Mohd Fikri Al-Wafi, 31. Allahyarham meninggalkan empat anak dan 15 cucu.

MATI PUCUK? DAPAT RAWATAN SEGERA… KLIK

Sementara itu, adik Allahyarham, Samsiah, 60, reda dengan pemergian abangnya, selain menjelaskan sempat mengusap kepala sebelum Ismail menghembuskan nafas terakhirnya, tengah malam tadi.

“Sudah tentu merasai kehilangan Allahyarham kerana dia rapat dengan ahli keluarga, suka berseloroh dan rajin bersedekah khususnya kepada adik-beradiknya.

“Kalau sambut Aidilfitri, kami memang akan berkumpul di rumah Allahyarham, tetapi tahun ini agak berbeza kerana dia sudah pergi menghadap Ilahi,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Allahyarham adalah bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia selama sepenggal pada 1999 hingga 2004 dan pernah memegang jawatan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.

Veteran PAS itu dimasukkan ke wad sejak 26 April lalu disebabkan keadaan kesihatan yang agak lemah, sebelum dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada hari sama dan didapati terdapat jangkitan di bahagian paru-paru.

Pada 9 Mei tahun lalu, Allahyarham yang juga Pengasas dan Penasihat Pusat Rawatan Islam Darussalam Malaysia dilaporkan menjalani pembedahan jantung di Institut Jantung Negara.

Allahyarham dilahirkan pada 2 Disember 1948 di Kampung Batang Rening , Ulu Selangor.

Mendapat pendidikan awal di Sekolah Arab Batang Kali sebelum meneruskan pengajian ke Ma’ahad Hisyamuddin, Klang di mana beliau berguru dengan seorang ulama tersohor, Asy-Syeikh Mahmood al-Arif al-Bukhori.

Allahyarham kemudiannya melanjutkan pelajaran ke Kolej Islam Klang dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan mendapat ijazah Sarjana Muda Syariah dengan kepujian pada 1976.

Allahyarham juga pernah menuntut di Beaver College Pennsylvania, Amerika Syarikat.

Allahyarham pernah bertugas sebagai guru, Pegawai Penyelidik, Pegawai Dakwah selain bertugas selama 15 tahun di pelbagai jabatan seperti di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) dan Pusat Islam.

Jawatan terakhir Allahyarham ialah Pakar Rujuk di Bahagian Hal Ehwal Islam (BAHEIS) Pusat Islam, sebelum bersara secara pilihan.

Allahyarham juga adalah perunding motivasi dan pendakwah bebas dengan memberi ceramah agama di seluruh dunia seperti Brunei, Indonesia, Thailand, Singapura, United Kingdom, Amerika Syarikat, Kanada dan negara Asia Barat.

Loading...