Jenazah Anuar Abu Bakar Selamat Dikebumikan

SHAH ALAM – Jenazah bekas pemain bola sepak kebangsaan, Anuar Abu Bakar, 48, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, di sini kira-kira pukul 11 pagi hari ini.

Terdahulu, jenazah Allahyarham dimandikan dan disolatkan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah kira-kira pukul 9.30 pagi.

Solat jenazah tersebut diimamkan Imam Besar Masjid negeri, Ustaz Muhammad Farhan Wijaya dan dihadiri kira-kira 500 kenalan dan ahli keluarga.

Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah turut berkenan menziarah dan menunaikan solat jenazah di masjid berkenaan.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Hospital Shah Alam kira-kira pukul 9 malam tadi akibat kanser hati dan meninggalkan seorang balu dan lima orang anak berusia 10 hingga 25 tahun.

Sementara itu, isteri Allahyarham, Siti Mariam Sathawee berkata, suaminya hanya mengetahui penyakit yang dihadapinya pada bulan lalu.

“Sewaktu arwah mengetahui penyakit itu pada 14 Mac lalu didapati kanser hati itu telah berada pada tahap empat.

“Sebelum ini memang tiada tanda-tanda mengenai penyakit ini. Keadaannya ketika itu masih kuat dan saya bagitahu dia kita kena kuat dan lawan penyakit ini,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Jelas Siti Mariam, kesihatan arwah suaminya semakin merosot selepas kematian ibunya, Aminah Nayan pada minggu lalu.

“Sejak itu (kematian ibunya) kesihatan arwah semakin merosot dan dia terpaksa dimasukkan ke Hospital Shah Alam semalam dan menghembuskan nafas terakhir di situ,” jelasnya.

Sebelum ini, Majlis Bandaraya Shah Alam berjaya mengumpul sejumlah RM33,624 bersama Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) menerusi Tabung Lagenda Anuar Abu Bakar sejak ia dilancarkan 27 Mac lalu.

Sumbangan itu diserahkan kepada anak Anuar iaitu Amriq Shah dalam perlawanan bola sepak Liga Super di antara Selangor dan Melaka United di Stadium Shah Alam, Sabtu lalu.

Untuk rekod, Allahyarham yang beraksi di posisi tengah dan penyerang pernah menyarung jersi kebangsaan di antara tahun 1993 hingga 1997.

Antara pasukan yang pernah mendapatkan khidmat Allahyarham yang berasal dari Johor ialah Selangor, Johor, Kelantan, Pulau Pinang dan MPPJ Selangor. – K! ONLINE

Loading...