Jemaah Menteri Setuju Cadangan Pelaksanaan Gojek

PUTRAJAYA – Jemaah Menteri dalam mesyuarat Kabinet hari ini telah memberi ‘lampu hijau’ berhubung cadangan pelaksanaan perkhidmatan teksi motosikal atau lebih dikenali sebagai gojek di negara ini.

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof berkata, untuk pelaksanaan perkhidmatan itu, jemaah Menteri telah memutuskan agar kajian undang-undang perlu dibuat terlebih dahulu.

Beliau berkata, Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Belia dan Sukan telah diberikan tangungjawab untuk mewujudkan ruang dan undang-undang bagi membenarkan perkhidmatan itu dilaksanakan.

“Secara prinsipnya, Kabinet hari ini bersetuju untuk melaksanakan projek ini dengan Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Belia dan Sukan perlu berbincang dalam sudut undang-undang.

“Kajian undang-undang ini tidak sukar kerana melibatkan yang sedia ada, kita kena teliti tentang lokasi perkhidmatan dan sebagainya demi keselamatan,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Redzuan berkata, perincian undang-undang perlu dilakukan bagi memastikan proses untuk membangunkan ekonomi anak muda tidak melanggar undang-undang sedia ada.

“Sama ada undang-undang sedia ada akan dilonggarkan atau perlu diwujudkan peraturan baharu akan dikaji oleh dua kementerian terbabit sebelum dibawa ke peringkat Kabinet untuk persetujuan jemaah Menteri,” katanya.

Semalam, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, menyatakan hasrat mahu memperkenalkan perkhidmatan teksi motosikal atau lebih dikenali sebagai gojek di Malaysia.

Menerusi kaji selidik yang dimuat naik menerusi akaun Twitter miliknya, Syed Saddiq berkata, beliau mahukan suara anak muda sama ada mereka bersetuju dengan perkhidmatan gojek untuk diperkenalkan di negara ini.

Dalam perkembangan lain, Mohd. Redzuan menafikan bahawa beliau adalah antara individu yang didakwa telah membodek Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam isu berkaitan isu lesen projek Lynas.

“Saya adalah menteri yang tidak membodek sesiapa dan saya juga turut memberikan kritikan yang konstruktif terhadap Dr. Mahathir. Apa yang dipersetujui Kabinet adalah dibuat secara konsensus untuk kepentingan negara,” katanya.

Loading...