Jelaskan Peranan Pemaju Perumahan Dari China

PETALING JAYA – Seorang pemimpin Pemuda UMNO menggesa Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin mendedahkan maklumat terperinci langkah menarik 8 pemaju dari negara China bagi membina rumah mampu milik menggunakan Sistem Binaan Berindustri (IBS).

Bercakap kepada FMT, naib ketua Pemuda UMNO, Shahril Hamdan berkata, Zuraida perlu menjelaskan sekiranya 8 syarikat China itu merupakan kontraktor utama atau hanya pembekal kepada pemaju tempatan.

Zuraida baru-baru ini dilaporkan berkata bahawa Malaysia telah menandatangani perjanjian dengan 8 syarikat yang berpangkalan di China untuk melabur di negara ini, memindahkan teknologi pembinaan prefabrikasi dan menawarkan pilihan sewa milik kepada pembeli.

Shahril mempersoalkan sama ada pemaju China itu akan memainkan peranan utama dalam pembinaan rumah mampu milik berdasarkan komen Zuraida bahawa pemaju tempatan hanya mampu membina 19,000 unit rumah setahun, sedangkan Pakatan Harapan (PH) berjanji untuk membina 1 juta unit rumah mampu milik dalam tempoh 10 tahun.

“Jika 8 syarikat itu hanya pembekal teknologi IBS, bagaimana pula mereka dapat menawarkan skim sewa milik sekiranya mereka tidak memajukan projek perumahan mampu milik itu,” soal beliau.

Shahril berkata, sebelum pilihan raya umum 2018, pemimpin PH menuduh kerajaan “menjual negara” kerana banyak projek kerajaan diberikan kepada syarikat China.

“Adakah kerajaan PH juga menjual negara atau apakah PH membuat satu lagi pusingan-U dan akur bahawa syarikat China mampu menawarkan kos lebih rendah?”

Shahril berkata, sekiranya 8 syarikat China itu turut diambil sebagai pemaju, maka soalan penting yang perlu dijawab ialah sama ada mereka telah melalui proses tender terbuka seperti yang dilaungkan oleh PH.

Seorang pemaju yang berpangkalan di Melaka, Anthony Adam Cho berkata, langkah membawa masuk pemaju dari China ada manfaatnya, terutamanya dari segi pemindahan teknologi.

Bagaimanapun kata beliau, Putrajaya perlu memberi peluang sama kepada pemaju tempatan, khasnya berkaitan harga tanah.

“Tidak harus ada insentif istimewa kepada syarikat asing yang tidak diberikan kepada pemaju tempatan. Projek atau kontrak yang diberikan mestilah dibuat melalui proses tender terbuka bagi menjamin ketelusan.”

Katanya, kerajaan perlu menyediakan instrumen pembiayaan kepada pemaju tempatan bagi membolehkan mereka bersaing atas asas yang sama dengan syarikat China. – FMT

Loading...