JDT Terima Pengiktirafan MBOR

JOHOR BAHRU – Kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) mencipta sejarahnya tersendiri apabila menjadi satu-satunya pasukan dalam negara berjaya menerima sijil pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) setelah menjuarai Liga Super selama enam kali berturut-turut.

Sijil pengiktirafan itu disampaikan oleh Ketua Pegawai Operasi MBOR, Christopher Wong kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Datuk Ismail Karim dalam majlis yang berlangsung di Dataran Bandaraya Johor Bahru, di sini, petang ini.

Turut hadir menyaksikan majlis ialah Setiausaha Kehormat PBNJ Kapten Mohd Anizam Jamian; Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Sheikh Umar Bagharib Ali dan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan, Mohd Khuzzan Abu Bakar.

Mengikut rekod, JDT memenangi kejuaraan Liga Super buat pertama kalinya pada tahun 2014, kemudian diikuti pada tahun 2015, 2016, 2017, 2018 dan tahun ini.

Tahun lepas, kelab itu turut menerima empat pengiktirafan daripada MBOR iaitu antaranya menjadi pasukan pertama dari rantau Asia Tenggara memenangi Piala AFC pada 2015.

Pengiktirafan juga diberi kerana kejayaan mengekalkan rekod tanpa kalah di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin bermula tahun 2013, 2014, 2015, 2016 dan 2017 dan mengekalkan rekod tanpa kalah dalam semua perlawanan liga pada musim 2016.

Loading...