JDT Identiti Rakyat Johor?

KISAH tentang keprihatinan Kesultanan Johor terhadap kehidupan rakyatnya ‘tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas’.

Begitu banyak telah kita dengar tentang sumbangan-sumbangan oleh Istana Johor untuk rakyat negeri itu sejak dulu.

Apabila media sosial menguasai segmen penyaluran maklumat, semakin mudah untuk ia diketahui ramai.

Paling ‘best’ sumbangan Istana Johor tidak memilih bulu. Tanpa mengira bangsa agama. Tidak bersifat populariti. Bukan hanya memilih yang viral/tular.

Itu belum termasuk sumbangan yang tidak diketahui umum. Semuanya gara-gara keikhlasan dan kasih institusi Kesultanan Johor terhadap rakyatnya.

Terbaru sebanyak tiga keluarga kurang berkemampuan dilaporkan menerima sumbangan dari Istana Johor pada 18 Mac lalu.

Bantuan bagi bulan Mac Fasa 3 itu melibatkan dua warga emas dan orang kurang upaya (OKU) yang sangat memerlukan bantuan.

Beberapa hari lalu pula lebih 300 pelajar dan warga emas dari golongan B40 menerima sumbangan Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ).

Inisiatif yang amat bermakna dalam keadaan pandemik Covid-19 masih berterusan menjejaskan kehidupan sebilangan rakyat.

Kita juga tahu tentang Kembara Mahkota Johor. Program Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar dalam menyantuni rakyatnya.

Menjelajah ke serata negeri untuk meninjau, melihat serta mendengar sendiri permasalahan dan keluh kesah mereka.

Apa pun itu cuma sebahagian daripada kisah di Johor tentang kesultanannya yang amat mengambil berat tentang rakyatnya.

Bagi penulis ada sumbangan yang jauh lebih besar dan bermakna pernah diilhamkan dari Istana Johor untuk rakyat negeri itu.

Sumbangan paling besar Istana Johor untuk rakyat Johor adalah kelab bola sepak Johor Darul Takzim (JDT). ‘Since 2012’.

Pelik bukan. Bagaimana sebuah kelab bola sepak boleh dianggap sebagai satu bentuk sumbangan untuk rakyat Johor?

Benar sumbangan ini tidak terlihat secara harfiah, namun ada. Malah paling bermakna dalam pengertiannya.

Sumbangan ini bersifat ‘intangible’. Tidak terlihat. Tidak terasa oleh deria sentuhan, tetapi tercerna dalam sanubari dan mata hati.

Untuk memahami erti sumbangan ini kita perlu berganjak sedikit ke masa silam.

Mendalami sejarah kewujudan kelab bola sepak bergelar JDT sejak sembilan tahun lalu.

Segalanya bermula apabila seorang anak muda berusia 27 tahun pada 4 September 2012 berjanji kepada rakyat Johor untuk mengembalikan kegemilangan bola sepak Johor.

Pemuda dikenali ramai sebagai TMJ (Tunku Mahkota Johor) berjanji di hadapan penyokong bola sepak Johor di Stadium Tan Sri Hassan Yunos.

Janji Tunku Ismail Sultan Ibrahim bukan omong-omong kosong. Kejayaan demi kejayaan ditempa sehingga menobatkan JDT ‘Raja Bolasepak Malaysia’.

Tahun demi tahun sebanyak tujuh kejuaraan Liga Super berturut-turut dicatatkan selain melakar sejarah sukan bola sepak tanah air apabila menjulang Piala AFC 2015.

Justeru, bagaimana untuk mengerti pencapaian sukan bola sepak ini dalam konteks sumbangannya kepada rakyat Johor?

Jelas dan ‘real’ pembangunan bola sepak Johor diilhamkan Tunku Ismail itu telah membangkitkan semula semangat penyatuan dan jati diri Bangsa Johor.

Fenomena Bangsa Johor yang melambangkan rakyatnya hidup bersatu padu tanpa mengira kaum dan agama.

Membentuk psikologi rakyat johor untuk terus hidup dalam harmoni dan saksama tanpa mempedulikan apa anasir mendatang.

Juga selepas sekian lama akhirnya rakyat Johor memiliki identiti dalam acuan tersendiri iaitu sukan bola sepak.

Jika negeri lain berbangga dengan identiti dialek dan sebagainya, rakyat Johor kini memiliki JDT untuk identiti 01 mereka.

Anak Johor yang merantau mudah mengenali sesama mereka kerana identiti JDT. Mengeratkan ukhwah dan silaturahim di negeri orang.

Maka apakah mungkin ada yang sifat sumbangannya lebih bermakna, menyeluruh dan meluas daripada sumbangan penyatuan Bangsa Johor ini?