JDT Dan Jorge Pereyra Diaz Berpisah Lagi…

BEBERAPA hari lalu, Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) dikejutkan dengan berita perletakan jawatan Ketua Jurulatih mereka, Ulisses Morais atas sebab-sebab kesihatan keluarga.

Kini, penyokong kelab Harimau Selatan itu sekali lagi mendapat berita buruk apabila kelab tersebut mengumumkan bahawa pemain import mereka, Jorge Pereyra Diaz telah meninggalkan JDT.

Menurut Ketua Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards, Diaz telah meninggalkan kelab tersebut ketika pasukan tersebut bermalam di Singapura sebelum berlepas ke Vietnam untuk perlawanan menentang Som Lam Nge Anh dalam kejohanan Piala AFC.

“Jorge Pereyra Diaz telah meninggalkan hotel penginapan pasukan pada 12.00 tengah malam kelmarin di Singapura sebelum pasukan berlepas ke Vietnam untuk perlawanan AFC.

“Ejen beliau telah menghubungi kami dan memberitahu tentang niat pemain tersebut yang ingin meninggalkan kelab. Kelab telah membuat keputusan untuk menghormati keputusan tersebut dan membiarkan beliau pergi,” tulis kenyataan tersebut.

Kenyataan tersebut dikeluarkan di laman Facebook Johor Southern Tigers milik kelab tersebut.

Tambah Edwards, JDT akan mencari pengganti Diaz apabila jendela perpindahan pemain akan dibuka semula bulan Jun nanti.

“Kami akan mencari pengganti pemain luar negara yang baharu untuk ditandatangani apabila jendela perpindahan dibuka bulan Jun nanti,” tulis kenyataan itu.

Ini bukanlah kali pertama Diaz dan JDT mempunyai masalah dalaman di antara mereka apabila Diaz sebelum ini juga pernah mengeluarkan kenyataan di laman Facebooknya menyelar kelab tersebut pada akhir musim 2016 selepas JDT tidak menyambung kontraknya.

Bagaimanapun, persengketaan tersebut disangka telah dapat diselesaikan apabila Diaz diumum kembali memperkuatkan pasukan JDT bagi musim 2018.

Berita ini nyata mengejutkan penyokong-penyokong pasukan berkenaan apabila di ruangan komen perkongsian tersebut mendapat reaksi pelbagai dari netizen.

Menurut salah satu komen, Diaz ini sememangnya dikenali dengan sikap kurang profesional sepanjang bermain di JDT sejak tahun 2014.

“Dah lama aku dok perati, Diaz ni memang kurang profesional. Bukan sekali dua ni sahaja dia beri masalah kepada kelab. Lebih baik ambil Juan Martín Lucero dari DIaz ni,” tulis pengguna akaun bernama Mahfuz Jaafar.

Selain itu ada juga yang berpendapat sikap Diaz ini sebagai tidak profesional perlu diambil tindakan oleh pengurusan JDT kerana melanggar kontrak.

“Mohon pihak JST amik tindakan undang2 mintak Diaz bayar baki contract. Jadikan pengajaran kepada player star lain jangan buat suka hati,” tulis Muhammad Abdul Mudi.

Tidak dapat dinafikan, impak Diaz sejak mula bermain di JDT sangat besar apabila dia turut memainkan peranan penting dalam membantu JDT menjuarai Liga Super Malaysia beberapa kali sebelum ini.

Walaubagaimanapun, JDT mempunyai ramai lagi pemain-pemain berkaliber yang boleh menggantikan tempat Diaz seperti penyerang skuad bawah-23 kebangsaan, Safawi Rasid dan juga Hazwan Bakri.

Selain itu, mereka turut mempunyai pemain-pemain naturalisasi berbakat seperti Natxo Insa dan La’Vere Corbin-Ong selain penyerang berbisa, Luciano Figueroa untuk membantu mereka dalam misi mempertahankan trofi Liga Super Malaysia. – MYNEWSHUB.CC/EZ

Loading...