Jawatankuasa Khas UEC Bentang Laporan Esok

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa tindakan khas kerajaan mengumpul pandangan untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) akan mengumumkan penemuannya esok, kata Menteri Pendidikan, Maszlee Malik.

Jawatankuasa itu yang diketuai ahli sosiologi, Eddin Khoo, turut dianggotai Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Raimi Abdul Rahim dan Tan Yew Sing yang merupakan timbalan presiden Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia, Dong Zong.

Maszlee berkata, jawatankuasa itu akan membentangkan laporan mereka esok.

“Kami akan memperkenalkan mereka semula kerana ramai yang tidak tahu kewujudan mereka walaupun engagement mereka dengan media.

“Mereka akan kemas kini penemuan terbaru mereka. Ia amat menarik.”

Kementerian Pendidikan menubuhkan Jawatankuasa Tindakan Khas UEC untuk mengumpul maklum balas sebelum membentangkannya kepada Kabinet.

Pengiktirafan UEC antara perkara yang dijanjikan dalam manifeso Pakatan Harapan.

UEC ialah peperiksaan seragam untuk pelajar di 60 sekolah menengah Cina di seluruh negara sejak 1975, dengan sukatan pelajarannya dibangunkan Dong Zong, apabila sekolah Cina enggan menerima pakai bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

Lepasan UEC tidak boleh melanjutkan pelajaran di universiti kerajaan dan bekerja di sektor awam negara ini kerana UEC tidak diiktiraf kerajaan persekutuan.

Bagaimanapun, kerajaan Sarawak mengiktiraf sijil itu yang bermakna lepasan UEC boleh mencari pekerjaan dalam sektor awam negeri, memasuki kolej dan universiti milik negeri serta memohon pinjaman pendidikan Yayasan Sarawak.

Selangor turut menerima kemasukan lepasan UEC ke universiti milik negeri, manakala Pulau Pinang pula mengambil lepasan UEC bekerja dengan syarikat milik kerajaan negeri. – FMT

Loading...