Jawatan Menteri Pendidikan Itu Hanya Spekulasi – Saifuddin

PUTRAJAYA – ‘Itu hanya spekulasi’ kata Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah mengulas laporan bahawa namanya antara yang disebut-sebut bakal menerajui Kementerian Pendidikan susulan peletakan jawatan Dr. Maszlee Malik, berkuat kuasa hari ini.

Beliau yang enggan mengulas lanjut memaklumkan soal itu perlu ditanyakan kepada Perdana Menteri.

“Itu hanya spekulasi.. tanya Perdana Menteri,” katanya kepada pemberita selepas selesai sidang media pengumuman Pencapaian Tahun 2019 dan Sasaran Pencapaian 2020 di sini hari ini.

Ketika ditanya sama ada rombakan Kabinet dalam masa terdekat, susulan peletakan jawatan Maszlee, beliau bagaimanapun enggan mengulasnya dan secara seloroh menjawab ‘nehi’ (bahasa Hindi).

Media hari ini melaporkan beberapa nama disebut-sebut antara pengganti Maszlee termasuk Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Saifuddin.

Penganalisis politik, Dr. Ainul Adzellie Hasnul, dipetik berkata pengalaman luas kedua-dua pemimpin itu menerajui Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) selaku menteri dan timbalan, sebelum ini melayakkan mereka mengisi kekosongan jawatan berkenaan.

Katanya, Mustapa mempunyai rekod cemerlang sebagai Menteri Pengajian Tinggi dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang boleh dimanfaatkan di KPM.

Beliau berkata, Saifuddin juga amat disenangi warga KPT, selain mempunyai rekod cemerlang sebagai Menteri Luar.

Semalam, Maszlee mengumumkan beliau meletak jawatan sebagai Menteri Pendidikan, berkuat kuasa hari ini.

Maszlee berkata, beliau mengambil keputusan itu selepas mendapat nasihat Perdana Menteri. – BH Online

Loading...