JAS Dipersoal Benar Projek PIL 1 Ada Kesilapan Pelan

GEORGE TOWN – Seorang pegawai Penang Forum mempersoal profesionalisme agensi pengawal persekutuan yang meluluskan laporan kajian alam sekitar satu projek lebuh raya yang mengandungi kesilapan lukisan pelan.

Khoo Salma, anggota jawatankuasa pemandu satu kumpulan sivil berkata, Jabatan Alam Sekitar (JAS) sepatutnya menyedari kesilapan itu dan meminta satu salinan baru disediakan.

Pada Selasa lepas, kerajaan Pulau Pinang berkata, satu “kesilapan” ditemui pada lukisan berm yang termasuk dalam penilaian kesan alam sekitar (EIA) projek Lebuhraya Pan Island Link 1 (PIL 1).

Ini berikutan aduan Khoo bahawa lukisan itu menunjukkan lebih banyak berm berbanding 6 yang dibenarkan bagi setiap lereng bukit yang dipotong di bawah peraturan Jabatan Kerja Raya (JKR).

Salah satu daripadanya ada 26 berm, kata beliau.

Semasa pembinaan lebuh raya, berm tersebut membantu mengawal hakisan dan mendapan, terutama pada bukit yang dipotong. Pembinaan PIL 1 kebanyakannya melibatkan lereng bukit.

Kenyataan kerajaan negeri menyebut, pelukis mungkin tersilap dalam menyediakan lukisan tersebut, sekali gus menjelaskan lukisan itu bersifat permulaan, bukan “reka bentuk sebenar” lebuh raya berkenaan.

Beliau berkata, reka bentuk sebenar hanya akan dibuat selepas laporan EIA itu, yang dikemukakan pada 10 April lepas, diluluskan.

Khoo memberitahu FMT, beliau terkejut bahawa perimeter yang ditetapkan di bawah Garis Panduan Reka Bentuk Cerun JKR 2010 tidak diikuti sepenuhnya walaupun dengan adanya bantuan komputer.

Berm adalah laluan sempit atau lekukan yang dibina pada bahagian atas atau bawah cerun bagi menjamin keselamatan dan penyelenggaraan lebuh raya.

Mengikut garis panduan itu, mana-mana cerun yang tidak dirawat perlu mempunyai berm dengan kelebaran 2 meter dan tidak melebihi 6 meter tinggi. Terdapat had 6 berm bagi setiap mana-mana bahagian.

Dalam lukisan bagi PIL 1, Khoo berkata, terdapat 5 tempat di mana jumlah berm lebih daripada 6.

“Perlu ada pihak yang memeriksa sama ada ia merupakan kesilapan lukisan atau kesilapan ukur,” katanya.

“Sekiranya lukisan itu betul dan terdapat keadaan di mana berm melebihi 6 meter tinggi diperlukan, maka apakah JAS akan mengambil langkah yang sepatutnya, iaitu menarik balik kelulusan yang diberikan?

“Mana-mana pegawai kerajaan yang melihat berlakunya ketidakpatuhan dalam reka bentuk cerun bukit hendaklah menolak permohonan tersebut atau meminta disediakan reka bentuk alternatif, bukannya meluluskan permohonan tersebut dengan meletakkan syarat lain.

“Ini bukan pelan landskap, sebaliknya ia boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya.”

PIL 1 adalah lebuh raya 6 lorong sepanjang 19.5km terdiri daripada 7.6km lebuh raya bertingkat dan 10.1km lebuh raya terowong melalui Bukit Bendera.

Ia menghubungkan Gurney Drive di timur laut dengan lapangan terbang di bahagian tenggara pulau itu dan akan dibina dengan kos RM7.5 bilion.

Pembiayaan projek didapati melalui pembiayaan bersilang dengan pembinaan dan lelongan 3 pulau buatan di bahagian selatan pulau Pulau Pinang. – FMT

Loading...