Jangkitan Influenza: Pemain JDT Kini Stabil

KUALA LUMPUR – Seramai 17 pemain Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) yang dijangkiti influenza sejak beberapa hari lalu kini berada dalam keadaan stabil.

Timbalan Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Dr. Shaharom Nor Azian Che Mat Din berkata, mereka kini mendapat rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Pakar KPJ Johor di sini selepas disahkan dijangkiti virus tersebut.

“Sebelum ini sebanyak sembilan kes influenza dilaporkan mulai 2 Julai 2019.

“Lapan daripada kes tersebut disahkan menghidap influenza B manakala seorang lagi disahkan menghidap influenza A,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kelmarin, seramai 17 pemain JDT dilaporkan dijangkiti virus berkenaan yang melibatkan 10 pemain pasukan utama JDT, empat pemain JDT II dan tiga pemain JDT III.

Gara-gara virus itu, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menunda aksi Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Petaling Jaya City FC (PJ City) yang sepatutnya berlangsung di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, kelmarin.

Keputusan itu dibuat MFL selepas menerima permohonan penundaan perlawanan ke-20 Liga Super daripada JDT berserta laporan penuh doktor perubatan yang menyatakan sebahagian besar pemain dan pegawai mereka disahkan dijangkiti virus influenza.

Justeru, MFL menjelaskan penundaan perlawanan itu terpaksa dibuat atas faktor keselamatan, kesihatan dan kesukanan.

Loading...