Jangan Pandang Negatif Perpaduan Ummah

KUANTAN – Perpaduan ummah yang menggunakan konsep ta’awun antara parti Melayu Islam di negara ini tidak sepatutnya dipandang negatif oleh pihak lain.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, sebaliknya pihak tersebut perlu melihat konsep Islam secara menyeluruh.

“Alhamdulillah kita sedang menjalani langkah yang proaktif menegakkan konsep perpaduan ummah dengan konsep berta’awun dengan saudara kita seagama dan sebangsa, mendahulukan parti Melayu Islam dan NGO ke arah perpaduan umat Islam secara khusus didahulukan. Yang tidak sepatutnya dipandang negatif oleh pihak lain kerana kewajipan kita mendahulukan masalah dalaman umat Islam sendiri.

“Sepatutnya semua pihak yang lain itu hendaklah melihat kepada konsep Islam secara menyeluruh terhadap mereka, bukannya mengintai dengan niat yang jahat.

“Malah mereka perlu menghargai dan berterima kasih kepada umat Islam di sini yang telah memberi tempat kepada mereka berkonsepkan akhlak Islam dan toleransi yang tinggi. Bandingkan kedudukan layanan kaum seperti mereka di negara lain,” katanya dalam ucapan dasar di Muktamar Tahunan PAS ke-65 di sini hari ini.

Tegasnya, PAS tetap mempertahankan kewujudan masyarakat majmuk berdasarkan petunjuk Islam dan bukannya bermain politik.

“Kita buktikan adanya sayap bukan Islam dalam PAS dan adanya parti UMNO yang bersifat Melayu Islam tidak berpisah dan Bumiputera tegar. Namun tetap menjalin rantaian yang tidak putus dengan semua kaum yang lain.

“Maka kita menentang sesiapa sahaja yang mahu membakar api perkauman dan fanatik agama yang merosakkan masyarakat majmuk ini. Serta tidak berganjak mempertahankan Islam memimpin dengan semangat tema yang diteruskan,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, PAS mengharapkan rakan-rakan bukan Islam supaya menolak parti fanatik perkauman (cauvanis) khususnya yang bersikap negatif terhadap umat Islam.

“Mari bermuafakat tegakkan keadilan untuk semua, bersama hak yang setimpal dengan keperluan masing-masing, bukannya persamaan tanpa peduli kepada yang lemah dan miskin,” katanya. – Sinar Harian

Loading...