Jangan Nilai Pindaan Akta 355 Dengan Prejudis Islam

KUALA LUMPUR – PAS meminta bukan Islam tidak menilai usaha parti itu untuk memperkasakan fungsi Mahkamah Syariah melalui pindaan Akta Akta Mahkamah Syariah 1965 (Akta 355) dengan sikap yang prejudis ke atas Islam.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin Hassan berkata, PAS turut meminta bukan Islam jangan menilai usaha tersebut dengan sentimen kepartian hingga tidak mempedulikan setiap penjelasan yang dibuat.

“InsyaAllah PAS tidak akan jemu untuk memberi penerangan terutamanya kepada bukan Islam sambil mengharapkan mereka juga dapat menilai dengan serius dan saksama,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Terdahulu, Nasrudin berkata, PAS bersedia untuk menyediakan platform bagi memberi penerangan khusus kepada Ahli Parlimen bukan Islam mengenai pindaan akta tersebut.

Menurut beliau, masih ramai dalam kalangan Ahli Parlimen terutama bukan Islam tidak mendapat penjelasan yang sebenar mengenai pindaan Akta 355.

“Antara yang menjadi kebimbangan masyarakat bukan Islam adalah mengenai kesan pindaan tersebut kepada mereka. Ada dakwaan yang mengatakan pindaan tersebut akan mengubah struktur politik di Sabah dan Sarawak menjadi sebuah negeri teokratik.

“Selain itu, terdapat juga dakwaan bahawa pindaan Akta 355 akan melemahkan struktur asas perlembagaan dan kebebasan beragama di negara ini. Kesemua salah faham ini masih berlegar di ruang pemikiran masyarakat terutamanya dalam kalangan bukan Islam,” katanya. – mynewshub.cc

Leave a Reply