Jangan Lakukan Kesalahan Undang Dosa Pada Aidiladha

KANGAR – Mufti Perlis, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin malam tadi mengingatkan umat Islam agar menjauhi beberapa perbuatan berkaitan ibadah korban yang bukan sahaja tidak membawa pahala bahkan boleh mengundang dosa.

Antaranya jika ada jawatankuasa masjid yang menunjukkan sikap berlumba-lumba untuk bermegah-megah kerana mampu melakukan korban lembu yang banyak tetapi menggunakan wang tabung masjid bagi tujuan itu.

“Sedangkan sumbangan diberikan (oleh jemaah kepada tabung masjid adalah) untuk kegunaan masjid bukan untuk beli lembu korban,” katanya ketika berucap di Masjid Alwi di sini malam tadi sempena sambutan Hari Raya Aidiladha atau Hari Raya Korban, Ahad ini.

Asri berkata, badan bukan kerajaan (NGO) dan wakil rakyat juga boleh melakukan kesalahan serupa jika NGO dan wakil rakyat masing-masing menyalahgunakan wang persatuan  atau wang kerajaan bagi projek pembangunan untuk membeli lembu korban.

Asri turut mengingatkan bahawa ibadah korban perlu dilakukan oleh individu dan bukan oleh persatuan dan seumpamanya.

Kesalahan lain yang berlaku, kata beliau ialah perbuatan mengambil mana-mana bahagian daging korban yang disukai tanpa pengetahuan mereka yang melakukan ibadan korban itu.

Loading...