Jangan Jadi Khadam Musuh Islam

KANGAR – Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin mengingatkan pihak-pihak tertentu supaya tidak menjadi khadam kepada mereka yang memusuhi Islam dengan cuba memperlekehkan usaha membantu menguatkan ekonomi umat itu.

Beliau menarik perhatian status Facebook milik seorang pegawai kerajaan yang menceritakan bagaimana kisah seorang pengusaha cili muslim di Perak baru-baru ini yang dikatakan menghadapi kesusahan berikutan kempen mengutamakan produk muslim yang dijalankan pada masa ini.

“Dalam status itu, taukeh-taukeh Cina dikatakan enggan membeli cilinya seperti dahulu. Mesej pegawai berkenaan itu adalah ingin menunjukkan betapa kempen ini (mengutamakan produk muslim) tidak wajar.

“Saya telah menghubungi sendiri pengusaha cili berkenaan yang bertempat di Perak. Beliau menyatakan memang ada tindak balas dari taukeh-taukeh Cina sejak beberapa hari lalu. Tapi, Alhamdulillah setelah beliau memasukkan dalam Facebook, taukeh-taukeh muslim mula menghubungi dan membeli cili dari beliau.

“Cumanya, jarak mereka agak jauh iaitu di Kelantan dan Melaka. Pun begitu, beliau masih dapat menjual hasil tanamannya. Dalam masa sama, beliau berharap ramai lagi pengusaha muslim yang dapat membeli hasil beliau yang keluarannya melebihi satu tan sehari,” katanya dalam status Facebooknya hari ini.

Mohd. Asri seterusnya percaya sekiranya ramai pembeli muslim yang konsisten membeli tanaman cili dikeluarkan oleh pengusaha tersebut, maka rantaian bekalan tanaman ini akan dapat diperkukuhkan.

“Alhamdulillah, beliau (pengusaha cili) tidak mempertikaikan kempen dan usaha mengutamakan produk muslim. Cuma beliau perlukan sokongan masyarakat muslim. Itulah juga tujuan kempen ini iaitu membeli hasil keluaran muslim dan kukuhkan rantaian bekalan masyarakat muslim,” katanya. 

Difahamkan, Helmy Agrosulutions yang menjalankan usahasama dengan golongan asnaf dari program Majlis Agama Islam Perak (Maipk), merupakan pembekal cili terbesar di Gerik dengan pengeluaran cilinya mencecah satu tan setiap hari ini. – UTUSAN ONLINE

Loading...