Jangan Hukum Penguat Kuasa Undang-Undang – CUEPACS

KUALA LUMPUR – Ketua jabatan diminta membuat pertimbangan sewajarnya sebelum meletakkan kesalahan di bahu penjawat awam yang menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) turut berharap ketua jabatan mengelak mengeluarkan kenyataan atau mengambil tindakan yang boleh melunturkan motivasi kerja penjawat awam.

Presidennya, Adnan Mat, berkata setiap keputusan yang diambil tidak boleh semata-mata untuk menjaga hati rakyat, sedangkan petugas barisan hadapan melaksanakan tugas dengan baik mengikut situasi semasa.

Beliau berkata, sokongan ketua jabatan amat diperlukan dalam situasi penjawat awam yang berhadapan tekanan kerja tinggi ketika ini.

“Justeru itu CUEPACS berharap semua pihak berlapang dada dan memberikan kerjasama yang terbaik kepada semua petugas kerajaan di barisan hadapan ketika ini.

“Sokongan dan kerjasama daripada setiap rakyat dalam mencapai kesepakatan semangat kenegaraan amat diperlukan bagi memastikan kejayaan negara menyekat penularan wabak COVID-19. Apa juga yang berlaku kita mesti menang supaya rutin kehidupan sebelum ini dapat kita jalani seperti biasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

CUEPACS turut menyatakan kekesalan dengan tindakan segelintir masyarakat yang mempertikaikan tugas penjawat awam sepanjang penguatkuasaan PKP.

Kongres itu menerima aduan sikap segelintir pihak yang ingkar arahan PKP selain ramai mengeluarkan kata-kata jelek kepada anggota penguat kuasa.

“Malah, ada yang membuat hantaran mencabar pihak berkuasa di media sosial hanya kerana tidak puas hati dengan tindakan anggota penguat kuasa yang menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab,” katanya.

Adnan berkata, sebagai rakyat tidak kira pangkat, kedudukan atau status perlu memberi kerjasama kepada anggota penguat kuasa yang menjalankan tugas.

Katanya, rakyat perlu tahu bahawa petugas barisan hadapan seperti polis dan tentera bertugas 24 jam secara bergilir untuk memastikan keadaan negara terkawal.

“Ada yang bekerja hampir 24 jam dan terpaksa meninggalkan keluarga hanya untuk memastikan keselamatan rakyat Malaysia. Janganlah kita sengaja mencabar kesabaran petugas barisan hadapan dengan membuat provokasi seolah-olah mahu melanggar undang-undang,” katanya. – BH Online

Loading...