Jangan Diam Isu Terowong, Hutang Negara, Kereta Mufti

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa ahli-ahli Kabinet bersuara, mengecam dan memberi penjelasan berhubung isu terowong Pulau Pinang, hutang rasmi kerajaan serta kes kereta Mufti Perlis yang dibakar oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Menurut Ahli Parlimen Pekan itu, perkara itu perlu dilakukan memandangkan begitu ramai kepemimpinan Pakatan Harapan (PH) termasuk menteri masih mengeluarkan pelbagai kenyataan tentang isu kekecohan yang berlaku semasa Program Sembang Santai Bossku Jumaat lalu.

“Pemimpin dan menteri PH perlu menggunakan desakan yang sama untuk menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak polis untuk mengesahkan atau menafikan sama ada kertas siasatan bagi siasatan skandal Terowong Pulau Pinang adalah tulen atau sebaliknya.

“Jika kertas siasatan itu adalah tulen, maka akan dapat dibuktikan sama ada berlaku penglibatan pemimpin DAP dengan skandal rasuah dalam skala besar dalam projek bernilai berbilion-bilion ringgit ini,” katanya dalam laman Facebook rasmi beliau hari ini.

Mengulas lanjut, Najib juga menggesa semua menteri PH agar tidak membisu apabila kepemimpinan Barisan Nasional (BN) dan PAS memberi soalan kepada mereka berhubung isu hutang rasmi kerajaan.

Katanya, kepemimpinan PH yang lain perlu mendesak dan menyoal kerajaan untuk mengesahkan hutang rasmi kerajaan sebagaimana yang dilaporkan Bank Negara Malaysia (BNM).

“BNM melaporkan hutang rasmi kerajaan telah meningkat sebanyak RM82 bilion di bawah kerajaan PH iaitu RM768 bilion berbanding RM686 bilion pada penghujung 2017. Malah ia tidak mengambil kira lagi dividen RM82 bilion yang dijarah daripada Petroliam Nasional Bhd. (Petronas),” katanya.

Selain itu, Najib turut menggesa pemimpin PH untuk mengeluarkan kenyataan mengecam tindakan individu tidak bertanggungjawab membakar kereta Mufti Perlis yang turut berlaku pada Jumaat lalu. – UTUSAN ONLINE

Loading...